HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Januari 2008

‘Ahmad Fairuz orangnya’ -- Ahli perniagaan dedah dengan siapa V.K. Lingam berbual.
Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan NOOR AZMAH IBRAHIM.


KUALA LUMPUR . – Lelaki yang dipaparkan dalam klip video yang dirakamkan pada 2001 dikenal pasti sebagai peguam Datuk V. K. Lingam yang dikatakan berbual melalui telefon dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Ahli perniagaan, Loh Mui Fah yang merupakan saksi utama Suruhanjaya Diraja yang menyiasat perbualan untuk mengatur pelantikan hakim-hakim itu berkata, Lingam sendiri yang memberitahunya bahawa beliau bercakap dengan Ahmad Fairuz yang ketika itu ialah Hakim Besar Malaya bergelar Datuk.

Ketika dipanggil sebagai saksi ketiga pada prosiding suruhanjaya itu yang masuk hari kedua hari ini, beliau mengesahkan telah mendengar perbualan telefon yang dipaparkan dalam rakaman klip video yang disiasat oleh suruhanjaya tersebut.

Mui Fah, 58, dari Lorong Syed Putra Kiri di sini bertubuh kecil dan berjambang. Beliau menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepadanya dengan suara yang tenang dan jelas serta amat bersopan santun.

Malah, ketika memasuki kandang saksi di bilik Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, beliau dengan penuh sopan bertanya apakah panggilan yang sesuai untuk memanggil ahli-ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja itu yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.

Menceritakan peristiwa yang berlaku pada malam 20 Disember 2001 ketika perbualan Lingam dan Ahmad Fairuz dirakamkan di rumah Lingam di Kelana Jaya, Mui Fah berkata, beliau mengunjungi rumah Lingam bersama anak lelakinya, Loh Gwo Burne, kini berusia 33 tahun, untuk konsultasi perundangan selain makan malam sempena perjumpaan akhir tahun.

Katanya, selepas makan malam, mereka beredar ke sofa untuk minum-minum.

Ketika itulah Lingam menerima panggilan telefon daripada Ahmad Fairuz lalu berlakulah perbualan seperti yang dipaparkan dalam klip video sepanjang 14 minit itu.

Semalam, Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyerahkan kepada Suruhanjaya Diraja transkrip perbualan itu yang mengandungi antara lain seorang lelaki India menyatakan beliaulah yang meletakkan Ahmad Fairuz ke jawatannya ketika itu dan meminta lelaki Cina (kini dikenal pasti sebagai Mui Fah) supaya tidak menghebahkan perkara itu kepada orang lain.

‘‘Saya tidak tahu dengan siapa dia bercakap. Sebab itu saya tanya siapakah yang membuat panggilan telefon tersebut dan dia (Lingam) memberitahu pemanggilnya ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Ahmad Fairuz,” kata Mui Fah.

Suruhanjaya Siasatan Diraja klip video itu ditubuhkan bagi menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video tersebut, mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip video itu dan kepada siapa dia sedang bercakap serta orang yang disebut dalam perbualan itu.

Mui Fah yang diwakili peguam Americk Singh Sidhu mengakui bahawa lelaki Cina di dalam klip video tersebut adalah dirinya manakala lelaki India yang bercakap melalui telefon adalah Lingam.

Katanya, klip video tersebut dirakam oleh Gwo Burne menggunakan kamera terkini dan canggih tanpa disedari oleh beliau atau peguam berkenaan.

Menjawab pertanyaan pegawai pengendali suruhanjaya itu, Datuk Nordin Hassan, ahli perniagaan tersebut berkata, beliau mengenali Lingam sejak pertengahan tahun 1990-an dan Lingam merupakan peguam yang mengendalikan hal ehwal perundangannya.

Katanya, beliau sering menerima jemputan daripada Lingam untuk ke rumahnya tetapi hanya sekali iaitu pada malam 20 Disember 2001 beliau dapat memenuhi jemputan peguam itu.

‘‘Ketika saya tiba, cuma Lingam, pengawal keselamatan dan orang gaji berada di rumah itu.

‘‘Tidak lama selepas itu, adik perempuan Lingam tiba untuk berbincang dengan abangnya. Dia beredar setengah jam kemudian,’’ ujarnya.

Menurut Mui Fah, ketika berada di rumah itu, adik perempuan Lingam yang beliau lupa namanya telah bergambar bersamanya dan Lingam.

Gambar tersebut yang diambil oleh Gwo Burne dikemukakan sebagai bukti dalam prosiding siasatan diraja itu.

Mui Fah berkata, beliau mendengar perbualan Lingam seperti yang dipaparkan dalam klip video itu kerana mereka berada berdekatan.

Katanya, Lingam menerima panggilan telefon tersebut selepas makan malam.

Nordin kemudian meminta kebenaran menayangkan klip video kepada Mui Fah dan saksi itu mengesahkan bahawa klip video itu adalah sama dengan rakaman yang dibuat oleh anak lelakinya.

Nordin: “Adakah awak yang dipaparkan sedang bercakap-cakap dengan Lingam dalam klip video itu?’’

Mui Fah: “Ya, lelaki itu adalah saya.’’

Nordin: “Adakah perbualan yang dipaparkan dalam klip video itu berlaku seperti yang kamu katakan pada 20 Disember 2001?’’

Mui Fah: “Ya.’’

Nordin: “Adakah lelaki yang bercakap dalam klip video itu Datuk V. K. Lingam?’’
Mui Fah: “Ya.’’

Nordin: “Selepas dia bercakap di telefon, adakah awak tanya dengan siapa dia bercakap?’’

Mui Fah: “Ya.’’

Nordin: “Apakah jawapan yang diberikan oleh Lingam?’’

Mui Fah: “Dia ialah Hakim Besar Malaya.’’

Nordin: “Adakah dia menyebut apa-apa nama?’’

Mui Fah: “Ahmad Fairuz.’’

Mui Fah berkata, anak lelakinya bersedia memberi keterangan di hadapan suruhanjaya itu malah beliau sendiri telah menguruskan kepulangan Gwo Burne yang kini berada di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu pihak mana yang bertanggungjawab mendedahkan rakaman klip video itu kepada pihak akhbar atau tempat anaknya menyimpan rakaman tersebut.

Ketika Lingam dipanggil masuk ke bilik persidangan untuk dicamkan oleh saksi, Mui Fah mengesahkan bahawa lelaki berkot kelabu gelap itu ialah Datuk V. K. Lingam yang dijelaskan dalam keterangannya.

Kata Mui Fah, itulah lelaki yang ditemuinya pada malam 20 Disember 2001.
Menjawab pertanyaan Ahli Suruhanjaya, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh, saksi itu berkata, ketika Lingam berbual melalui telefon, beliau (Mui Fah) hanya duduk di sofa memerhatikan perbualan itu kerana beliau tidak ada kerja lain untuk dilakukan.

Katanya, ketika itu anak lelakinya duduk di kerusi lain beberapa kaki di belakangnya dan beliau tidak dapat melihat anaknya melainkan beliau berpusing ke belakang.

Menjawab pertanyaan Ahli Suruhanjaya, Datuk Mahadev Shanker, Mui Fah memberitahu, dua lelaki yang bercakap-cakap dalam klip video itu ialah dirinya dan Lingam.

Sementara itu, ketika disoal peguamnya, Mui Fah berkata, anaknya turut mengambil gambar beliau bersama Lingam dan seorang lagi peguam, Manjit Singh (telah meninggal dunia).

Katanya, Manjit tiba kira-kira setengah jam atau 45 minit selepas perbualan telefon yang dikatakan antara Lingam dengan Ahmad Fairuz berlangsung.

Beliau berkata, klip video itu pula dirakam oleh anak lelakinya sebelum gambarnya bersama Manjit dan Lingam diambil.

Prosiding Suruhanjaya Diraja bersambung esok.

Tiada ulasan: