HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Januari 2008

Isu Soi Lek gambarkan pengerusi BN semakin tak dihormati.


KOTA BHARU (Hrkh) - Mungkinkah pendedahan satu demi satu isu kronik yang membelenggu Barisan Nasional (BN) sekarang kerana kewibawaan pengerusinya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, semakin hilang.

Ramai cuba membandingkan era pengerusi BN sebelum ini, di mana tidak kedengaran berlaku skandal seks secara meluas dan masalah kompenan BN seperti sekarang.

"Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap mampu menghidu masalah dalaman Umno dan BN lebih awal sehingga perkara itu berjaya ditutup rapat tanpa pengetahuan masyarakat.

"Namun sekarang, tidak berlaku lagi kerana pemimpin kompenan BN kelihatan tidak mempunyai pemimpin berpendirian tegas seperti mantan perdana menteri," kata anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mohd Amar Abdulllah.

Beliau berkata, skandal seks terutamanya melibatkan seorang menteri kabinet tidak pernah terdedah kepada media sebelum ini, namun hari ini keadaan sebaliknya berlaku.
Menurutnya perdana menteri sekarang seperti tidak boleh mengawal keadaan yang berlaku sehingga berjaya dihidu media massa dan masyarakat.

Sebaliknya beliau berkata, menantunya, Khairy Jamaluddin pula dilihat lebih menguasai politik sehingga menenggelamkan kewibawaan Perdana Menteri.

"Mungkin ramai akan menunggu komen Khairy berbanding Perdana Menteri kerana ramai tahu beliau lebih suka mendiam berkaitan apa apa isu pun," kata Naib Yang Dipertua PAS Jeli, Suply Abdul Razak.

Suply yang juga Penyelia Dun Bukit Bunga berkata, amat wajar sekali Datuk Seri Chua Soi Lek meletak jawatan menteri kabinet sebagai menghormati Perdana Menteri.

Namun, kenyataannya semalam yang tidak mahu meletak jawatan secara jelas menggambarkan tidak menghormati Perdana Menteri yang menggagaskan prinsip Islam Hadhari dan modal insan.

Mohd Amar yang juga anggota Exco kerajan negeri berkata, skandal seks merupakan perkara besar kerana berkaitan soal moral dan integriti, lebih-lebih lagi kedudukannya sebagai pemimpin negara.

"Tidak sepatutnya seorang menteri yang sebelum ini banyak menasihatkan rakyat supaya mengamalkan hidup sihat tiba-tiba melakukan perkara yang bertentangan nilai moral.
"Apa lagi yang boleh dicontohi daripada seorang pemimpin kalau moralnya sudah menjunam. Tidak berbangkit soal dianiayai oleh musuh politik kerana apa yang dilakukan melibatkan soal maruah diri sendiri," ujarnya.

Seorang kakitangan kerajaan yang enggan dikenali turut melahirkan rasa malu bagaimana seorang menteri boleh terbabit dengan skandal seks.

"Saya tidak tahu bagaimana pemimpin itu yang agak dihormati dahulu mahu berdepan dengan masyarakat kerana moralnya sudah hilang sama sekali," katanya. - mj

Tiada ulasan: