HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Januari 2008

Majistret berang, tertuduh lewat hadir kerana tertidur.



KUALA TERENGGANU: Seorang Majistret hari ini berang apabila dua tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret bersama 19 lagi tertuduh bagi perbicaraan tuduhan kes menghadiri perhimpunan haram di Batu Buruk di sini pada malam 8 Sept lalu, hadir lewat.

Perbicaraan yang bermula pada pukul 10 pagi terpaksa ditangguhkan seketika kira-kira 15 minit kemudian setelah dua tertuduh berkenaan iaitu Khair Muzakkir Ali dan Mohd Idris Awang tidak muncul ketika perbicaraan kes itu hendak dimulakan.

Ketika perbicaraan disambung semula, kedua-dua lelaki terbabit hadir dan Majistret Nariman Badruddin bertanya kepada Khair Muzakkir sebab dia lewat menghadiri perbicaraan tersebut.

"Kamu tahu atau tidak kes dibicarakan hari ini?" tanya Nariman kepada Khair Muzakkir setelah mahkamah berhenti rehat selama 20 minit.

"Tahu," katanya.

"Habis, kenapa datang lewat," tanya Majistret.

"Saya tertidur," kata tertuduh yang berasal dari Jalan Sultan Mahmud, yang kemudiannya diikuti dengan gelak kecil oleh orang awam yang memenuhi mahkamah bagi mengikuti perbicaraan kes tersebut.

Nariman kemudian turut bertanyakan soalan yang sama kepada Mohd Idris sebelum memberi amaran keras kepada kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Ketika itu juga telefon bimbit salah seorang daripada 19 tertuduh berbunyi menyebabkan Nariman mengarahkan salah seorang anggota polis untuk merampasnya.

Sementara itu pihak pendakwa raya memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu untuk dibicarakan bersama dengan satu lagi kes melibatkan dua lelaki atas dua pertuduhan pilihan iaitu menggunakan kekerasan dan sengaja cuba mencederakan seorang anggota polis dalam kejadian yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria dalam penghujahannya berkata, Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, mengkehendaki seseorang majistret menghentikan perbicaraan dan memindahkan kes tersebut ke mahkamah yang lebih tinggi sekiranya sebelum perbicaraan atau semasa perbicaraan, pendakwa raya memohon supaya kes itu dibicarakan di mahkamah yang lebih tinggi.

Seksyen itu, katanya, memberikan peruntukan mandatori dan majistret tidak mempunyai budi bicara untuk menolak permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwa.

Dalam penghujahan balas, Datuk Wan Abd Muttalib Embong yang mengetuai sekumpulan 14 peguam bela mewakili kesemua tertuduh berkata, kes tersebut tidak sewajarnya dipindahkan ke Mahkamah Seksyen kerana ia merupakan kes biasa dan bukannya melibatkan jenayah serius yang meragut nyawa.

Katanya, perpindahan kes itu untuk dibicarakan dengan satu lagi kes yang turut melibatkan kejadian yang sama akan mengambil masa yang lebih lama sekali gus menambahkan lagi penderitaan kesemua tertuduh dan menyebabkan kezaliman terhadap mental dan fizikal mereka.

Selepas mahkamah ditangguhkan seketika untuk waktu makan tengah hari, Nariman kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Seksyen bagi dibicarakan bersama dengan satu lagi kes melibatkan kejadian yang sama.

Kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen pada 20 hingga 24 Jan dan 27 hingga 31 Jan. BERNAMA

Tiada ulasan: