'Kami bebas'.
Oleh WARTAWAN KOSMO.
KUALA LUMPUR – Warga Indonesia boleh menjadi pemandu atau konduktor bas henti-henti tanpa bimbang walaupun ia menyalahi undang-undang kerana mereka tahu pihak berkuasa lebih suka menahan bas ekspres dalam operasi mereka selama ini.
Faktor inilah selain pendapatan yang agak lumayan, mendorong warga Indonesia seperti Tony untuk memberanikan diri menjadi pemandu bas atau `pilot’.
“Sepanjang saya bekerja tidak pernah ditahan, polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) hanya cari bas ekspres,” katanya kepada wartawan KOSMO! yang menyamar sebagai penumpang.
Bagi seorang lagi pemandu warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Sujono, pekerjaan sebagai pemandu lebih lumayan dan mudah berbanding kerjaya lamanya sebagai tukang rumah.
“Dulu kerja teruk menukang rumah, tetapi sekarang tidak lagi dan kerja jadi pemandu bas ini lebih senang dan boleh dapat sampai RM1,000 sebulan,” katanya yang lebih suka dipanggil Ery.
Beliau telah bekerja sebagai pemandu bas sejak setahun lalu dan mendakwa memiliki lesen memandu sah yang dikeluarkan oleh JPJ.
Ery mempunyai pengalaman memandu kenderaan awam ketika berada di Indonesia dan tidak berasa janggal untuk melakukannya di ibu kota.
Tinjauan yang dilakukan KOSMO! turut mendapati, rata-rata pemandu dan konduktor bas warga Indonesia terbabit bekerja dengan salah sebuah syarikat pengangkutan awam yang terkenal di bandar raya ini.
Bukan setakat itu saja, para peniaga kecil-kecilan berhampiran Plaza Kotaraya serta pengunjung di situ juga terdiri dari kalangan puak mereka hingga boleh digambarkan kawasan tersebut bagaikan `mini Jakarta’.
Selain itu, kalangan warga Indonesia yang bekerja sebagai pemandu serta konduktor bas itu tidak mencerminkan diri mereka sebagai pemandu bas kerana tidak mempamerkan pas kerja atau lesen memandu kenderaan awam (PSV).
Malah lebih menjijikkan pakaian mereka juga tidak terurus sambil memanggil pelanggan dengan rokok yang tidak lekang di bibir.
Tinjauan yang sama juga mendapati pemandu dan konduktor sebuah syarikat bas yang sama mempunyai penampilan berbeza dengan anak tempatan ada pakaian seragam serta lencana bulat sementara rakan sekerja warga asing dengan stail `ikut suka hati’.
Tidak cukup dengan itu, bas yang dipercayai dipandu warga Indonesia itu juga dilihat melekatkan kertas timah dan pelekat lain pada cermin bas seolah-olah mengelak wajah mereka dilihat dari luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan