Lingam mungkin ada akses rahsia-rahsia rasmi?.
Wan Nordin Wan Yaacob.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Suruhanjaya Diraja yang menyiasat skandal kehakiman 'Pita Lingam' diberitahu mengenai pertukaran surat antara bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan dengan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2001.
Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, telah diminta memberi keterangan saksi untuk menyahihkan surat-surat tersebut di hadapan lima pesuruhjaya siasatan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Dalam satu surat bertarikh 2 Oktober 2001, Mohamed Dzaiddin telah mengemukakan lima calon untuk menjadi Hakim Mahkamah Tinggi kepada bekas Perdana Menteri.
Samsudin pula juga mengemukakan lima calon ( tiga yang sama dan dua yang berbeza), dan Mahathir akhirnya memilih senarai yang dikemuka oleh Samsudin.
Dalam rakaman video yang dibuat pada 21 Disember 2001, Dato' VK Lingam menamakan dengan tepat dua orang dari senarai Mohamed Dzaidin akan digugurkan. Sementara pelantikan hanya diumumkan pada 8 Februari 2002.
Lingam menerangkan bahawa satu nama yang akhirnya digugurkan, Zainudin Ismail, ditolak kerana Zainudin mengritik perlantikan Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Malaya.
Akhbar arus perdana melaporkan., surat-surat rasmi antara bekas Dr Mahathir dan Mohamed Dzaiddin berhubung rundingan pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan hakim-hakim Mahkamah Tinggi didedahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Sebanyak 30 dokumen termasuk memorandum kepada Majlis Raja-Raja dan Pengelola Istana Negara yang bertarikh antara 2 Julai 2001 dan 30 Jun 2002 dikemukakan sebagai bahan bukti serta dicamkan oleh Samsudin.
Surat-surat tersebut yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia telah dikelaskan semula sebelum salinannya diserahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Samsudin yang memberi keterangan sebagai saksi keenam pada hari ketiga prosiding suruhanjaya itu juga mengesahkan semua dokumen tersebut pernah dikendalikan, disedia dan ditandatangani semasa beliau memegang jawatan KSN antara 1 Februari 2001 dan 2 September 2006.
Antara dokumen rasmi yang dikemukakan oleh pegawai pengendali suruhanjaya, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan ialah surat cadangan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Hakim Besar Malaya bertarikh 2 Julai 2002 daripada Mohamed Dzaiddin kepada Dr Mahathir.
Dalam surat itu, antara lain Mohamed Dzaiddin memohon persetujuan Dr Mahathir supaya Ahmad Fairuz dilantik sebagai Hakim Besar Malaya.
Bekas Ketua Hakim Negara itu menulis kepada Dr Mahathir: 'Saya berpenuh keyakinan Dato' Ahmad Fairuz dapat bekerjasama dan bersefahaman dengan saya kerana kami datang dari sama sekolah'.
Surat bertarikh 19 Ogos 2002 pula berupa cadangan pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Presiden Mahkamah Rayuan oleh Mohamed Dzaiddin kepada bekas Perdana Menteri itu.
Turut dikemukakan ialah surat cadangan pelantikan lima hakim Mahkamah Tinggi pada 5 Disember 2001 yang menyenaraikan lima calon iaitu tiga Pesuruhjaya Kehakiman iaitu Dato' Heliliah Mohd. Yusof, Dato' Ramly Ali dan Dato' Ahmad Maarop serta dua peguam iaitu Dr Andrew Chew dan Zainuddin Ismail.
Menjawab soalan peguam yang mewakili Badan Peguam Malaysia, Razlan Hadri, Samsudin menjelaskan kepentingan surat rasmi tersebut dengan berkata, "Surat itu tidak didedahkan walaupun kepada Menteri dan Timbalan Menteri."/wann.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan