kebakaran ragut 79 nyawa sepanjang 2007.
JOHOR BAHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM9.66 bilion daripada musnah dijilat api ketika kejadian kebakaran pada tahun lepas, kata Ketua Pengarahnya Datuk Hamzah Abu Bakar.
Bagaimanapun, katanya jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kejadian-kejadian kebakaran pada tahun lepas adalah RM865 juta.
"Pada tahun lepas, jabatan telah menerima sebanyak 43,863 panggilan kecemasan yang terdiri daripada kebakaran dan menyelamat. Ia merupakan peningkatan sebanyak 1.1 peratus daripada panggilan kecemasan yang diterima dari tahun 2006," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Amer Yusof pada majlis perhimpunan tahunan 2008 di Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Isnin.
Katanya 20,225 panggilan melibatkan kejadian kebakaran, yang mengakibatkan 79 kematian dan 61 cedera berbanding 71 kematian serta 86 kecederaan pada tahun sebelumnya.
Pada 2007, katanya bomba telah menerima 22,065 panggilan menyelamat melibatkan kemalangan jalan raya, lemas, penyelamatan di dalam lif, sesat di dalam hutan dan sebagainya.
Panggilan khidmat khas Jabatan Bomba turut menerima 1,573 panggilan melibatkan bahan kimia dan biologi berbahaya seperti anthrax, tumpahan kimia dan petroleum, katanya.
Mengenai peruntukan RM1.5 bilion yang diterimanya dalam Rancangan Malaysai Kesembilan, katanya pihaknya telah memperoleh 200 unit Jentera Bomba Sederhana (LFRT) dan 107 unit Jentera Bomba (FRT) dengan kos sebanyak RM414.20 juta.
"Jentera ini adalah untuk menampung kekurangan atau menggantikan jentera-jentera bomba yang lama. Daripada 683 buah jentera bomba dan penyelamat yang sedang beroperasi pada ketika ini, 50 peratus daripadanya sudah berusia lebih daripada 20 tahun," katanya.
Hamzah berkata jabatan juga telah memperoleh 10 set Modul Pam Prestasi Tinggi (HPPM) bernilai RM26.93 juta yang berkeupayaan membekalkan air pada kuantiti yang banyak sehingga dua kilometer ke tempat bencana.
Selain itu, sebanyak 60 unit motosikal untuk kegunaan pasukan Rapid Intervention Motorcycle (RIM) turut diperolehi dan dilengkapkan dengan peralatan pemadam, penyelamat dan perubatan dengan kos perolehan sebanyak RM8.26 juta.
Pada Februari tahun lepas pula, katanya pihak jabatan telah membeli sebanyak 100 unit bot aluminium yang telah digerakkan untuk menangani operasi banjir di Johor, Pahang dan Kelantan baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan