HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Januari 2008

Presiden PAS rasmi pelancaran 'Harakah Media Pilihan Raya Anda'.
Azamin Amin.


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan moto Harakah sempena musim pilihan raya umum: 'Harakah Media Pilihan Raya Anda' di Jabatan Pengarang Harakah dekat sini, petang tadi.

Sebelumnya, dalam pertemuan dengan sidang pengarang Harakah, Ustaz Abdul Hadi memberitahu bahawa media adalah platform penting dan berperanan besar dalam membawa perubahan kepada masyarakat.

"Media perlu menjadi saksi yang adil supaya rakyat boleh menjadi hakim yang adil juga dalam menentukan masa depan negara dan rakyat jelata.

"Oleh yang demikian, Harakah selaku lidah rasmi PAS menjadi perhatian ramai dalam mendedahkan isu-isu semasa, membela nasib rakyat yang terhimpit di samping menjadi saluran utama untuk rakyat mendapat maklumat tepat dan benar .

"Malah Harakah bukan sahaja menjadi perhatian ahli dan pendokong PAS tetapi menjadi media utama juga kepada parti-parti alternatif, NGO yang lain dan masyarakat awam," katanya sewaktu sidang media tersebut.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Harakah yang juga AJK PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Ghazali; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman; Pengarang Harakah, Taufek Yahya; Pengarang Berita, Rashidi Hassan; Pengarang Berita Kanan, Haji Roslan Hamid, Pengurus Pengiklanan Mokhtar Rozaidi, para penyunting, jurugambar dan wartawan Harakah.

Di samping merasmikan pelancaran kempen tersebut, Ustaz Hadi juga turut meluangkan masa hampir sejam bersama warga kerja Harakah dalam sesi soal jawab dan bertukar-tukar pandangan berkaitan isu pilihan raya.

"Saya juga berharap supaya janganlah lemah semangat apabila menerima pelbagai teguran dan kritikan daripada pihak yang inginkan kemajuan dalam Harakah khususnya para pimpinan PAS.

"Saya tahu bukan mudah untuk menghadapinya namun bersabarlah dan pertingkatkan usaha sentiasa demi perjuangan kita dan menghadapi musuh daripada media arus perdana yang sering memanipulasikan kita,"tambahnya. - mks.

Tiada ulasan: