HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Januari 2008

Kekurangan minyak masak menular ke Terengganu, Pahang.


KUALA LUMPUR – Belum pun selesai isu kekurangan minyak masak di negeri-negeri utara, kini masalah itu membelenggu pula penduduk Terengganu dan Pahang apabila pengguna di kedua-dua negeri itu makin sukar mendapatkan bahan keperluan tersebut.

Di Terengganu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah pasar raya dan kedai runcit di beberapa daerah di negeri ini mendapati rak-rak menempatkan minyak masak kelapa sawit kosong.

Yang tinggal hanya minyak masak jagung dan bunga matahari.

Seorang peniaga runcit di sini ketika ditemui berkata, bekalan minyak masak kelapa sawit telah dihantar pemborong tiga hari lalu dan jumlah yang dibekalkan adalah kurang daripada yang ditempah.

“Jadi, minyak masak berkenaan habis dijual beberapa jam selepas ditempatkan di rak. Saya tidak tahu bila bekalan seterusnya akan dihantar,” katanya.

Seorang penjaga stor di salah sebuah pasar raya di Dungun, Shaiful Anuar Anang, 25, memberitahu, para pemborong kini tidak lagi menghantar bekalan minyak masak kelapa sawit ke sini kerana mereka menyatakan bekalan minyak dalam simpanan mereka juga habis.

Seorang pengguna, Mazlan Muda, 35, berkata, jika masalah itu dibiarkan berlarutan penduduk bukan sahaja akan berasa terbeban, malah golongan peniaga kedai makan akan kehilangan punca pendapatan.

Di Besut, sebuah pasar raya terpaksa mengehadkan pembelian minyak masak kepada pelanggannya berikutan kebanyakan pengguna terutama peniaga keropok lekor membeli dalam jumlah terlalu banyak.

Di Pahang, lebih 200 tan metrik minyak masak peket akan dibekalkan kepada penduduk di gugusan Felda Jengka bagi mengatasi masalah kekurangan minyak berkenaan.

Ketua Pegawai Unit Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna Cawangan Temerloh, Othman Din berkata, bekalan minyak masak sebelum ini mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, ia berkurangan secara mendadak apabila pengguna membeli dengan kuantiti banyak sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang banjir kedua.

Katanya, selain Maran masalah itu turut dihadapi oleh penduduk di Triang.

Tiada ulasan: