Kenyataan Najib, gambarkan kegagalan BN urus negara - Tan Sri Khalid.
Wan Nordin Wan Yaacob.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa negara akan muflis sekiranya harga runcit petrol diturunkan mencerminkan kegagalan Barisan Nasional (BN) untuk menguruskan kekayaan negara dengan baik.
Menurut Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Khalid Ibrahim keuntungan Petronas seharusnya mencukupi untuk membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat.
Tambahnya, pada masa yang sama pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan menggunakan untung itu bersama hasil-hasil kerajaan yang lain seperti cukai dan sebagainya.
KeADILan mencabar Najib untuk membentangkan secara terperinci semua perbelanjaan yang telah dibuat oleh kerajaan menggunakan hasil Petronas kepada Parlimen, katanya kepada Harakahdaily hari ini.
"Ini akan membolehkan Parlimen dan rakyat membuat penilaian samada benar hasil Petronas telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk pembangunan negara," ujarnya.
KeADILan percaya hasil Petronas telah dibazirkan akibat korupsi dan pengurusan yang tidak tulus di dalam pengendaliannya oleh kerajaan BN, kata Khalid yang juga bekas CEO Guthrie.
Kerajaan BN tidak berhemah dan cermat dalam membelanjakan hasil pendapatan negara milik rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk diuruskan dengan cekap dan jujur, katanya.
Pembentangan Belanjawaan 2008 jelas menunjukkan perbelanjaan operasi negara yang melebihi RM120 bilion tidak boleh ditampung dengan kutipan hasil cukai pendapatan dan hasil cukai yang lain kerana perolehan ini akan hanya berjumlah RM75 bilion, katanya.
Kerajaan BN perlu berjimat cermat demi mengurangkan kos pengurusan dengan memberi keutamaan kepada produktiviti dan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan, katanya.
Apabila mendapat mandat untuk membentuk kerajaan bersama parti-parti rakan, KeADILan komited untuk menurunkan harga runcit petrol meskipun harga petroleum di pasaran dunia terus meningkat, sebagaimana yang diamalkan di negara-negara pengeluar petroleum lain dunia, katanya.
Dengan pembasmian rasuah dan pengurusan berhemah, hasil negara akan mencukupi bukan sekadar untuk tujuan pembangunan tetapi bagi memastikan rakyat dapat hidup selesa, ujarnya.
"Adalah jelas kerajaan BN tidak mampu memikirkan usaha untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Ini adalah kerana kerajaan BN sangat terikat dengan komitmen dan janji mereka kepada rakan politik yang mana telah dijanjikan tender dan kontrak," katanya.
Sudah tiba masanya untuk Malaysia ditadbir oleh sebuah kerajaan yang cekap, bersih dan amanah; bukannya oleh kerajaan BN yang lemah, korup dan sudah muflis idea dan wawasan untuk mentadbir negara dengan cekap demi kepentingan rakyat, tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan