Kementerian Pertanian perlu beri penjelasan mengenai pelanggaran prosedur import beras.
Intan Abdullah.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kira-kira 25 ribu tan beras yang dibawa masuk dari Thailand dan Vietnam yang tiba di perlabuhan-perlabuhan utama negara tidak mendapat kelulusan AP lebih awal, akhirnya terpaksa diberi kelulusan.
Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berpendapat Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian perlu memberikan penjelasan mengenai tindakan pihak kerajaan yang melanggar prosedur tersebut
"Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian perlu memberikan penjelasan kenapa dia melanggar prosedur tersebut, bukannya dia yang hendak minta penjelasan daripada Bernas, sebab kerajaan yang keluarkan permit itu, bukan Bernas," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut pagi tadi.
"Mungkin berlaku suapan atau rasuah antara pegawai yang berkuasa mengeluarkan AP dengan pihak Bernas yang kononnya mahu mengelakkan kerugian RM60 juta beras," tambahnya.
Menurutnya, beras yang dimiliki oleh Bernas bernilai RM60 juta tersebut telah tersadai selama lebih dua minggu di perlabuhan-perlabuhan tersebut
"Sepatutnya pihak Bernas memohon kelulusan AP terlebih dahulu barulah membawa beras tersebut masuk ke negara ini," katanya.
Ujarnya tindakan pihak Bernas membawa masuk beras dalam kuantiti yang melebihi kuota yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melanggar undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan.
"Mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, mana-mana beras yang hendak dibawa masuk ke negara ini hendaklah memohon permit terlebih dahulu sebelum membawanya masuk.
Sekarang ini, keadaan sudah jadi terbalik apabila kerajaan terpaksa meluluskan AP bagi sejumlah besar beras tersebut dengan alasan khuatir dengan pembaziran," katanya.
Mahfuz mempersoalkan situasi tersebut dengan menyalahkan pihak kerajaan yang begitu longgar dan tanpa membuat siasatan teliti berhubung tindakan pihak Bernas yang mahu mengaut keuntungan untuk kepentingan mereka tanpa memikirkan kesan akan datang.
"Bahkan kerajaan tidak pula memikirkan kesan pengimportan beras dalam kuantiti yang begitu besar ke atas petani dan penduduk luar bandar yang jelas menzalimi nasib mereka," ringkasnya.
Beliau melihat tindakan kerajaan memberikan AP kepada Bernas tersebut menggambarkan sikap kerajaan yang pro kepada korporat tanpa mengambil kira masalah golongan petani yang berpendapatan rendah di kampung dan luar bandar.
"Pada 1994, kira-kira 12,500 tan beras yang bernilai RM40 juta telah dibawa masuk dengan cara seumpama ini. Jadi, kita tak tahulah ini kali ke berapa kejadian serupa ini telah terjadi," jelasnya lagi.
Malah ujar Mahfuz, beras tersebut bukanlah beras biasa sebaliknya beras wangi yang biasanya dimakan oleh golongan tertentu sahaja.
"Sekali gus ia menjejaskan pendapatan golongan berpendapatan rendah, malah beras wangi bukanlah merupakan keperluan utama semua peringkat masyarakat di Malaysia.
Mungkin ada pihak yang ingin mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi," tegasnya. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan