HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Januari 2008

Kenaikan tol hadiah Tahun Baru 2008 daripada Umno-BN.


Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengucapkan 'takziah' ke atas seluruh rakyat Malaysia di atas 'hadiah' kerajaan pimpinan UMNO/BN sempena sambutan tahun baru 2008, iaitu kenaikan kadar tol di 6 lebuhraya di seluruh Malaysia.

Lebuh raya itu ialah Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuh Raya Kulim-Butterworth, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam.

Seperti biasa, Menteri Kerjaraya, Dato' Seri S. Samy Vellu akan hanya menjadi wakil pihak konsesi untuk membentangkan permohonan mereka kepada Kabinet pimpinan Abdullah Badawi untuk diluluskan secara rasmi. Inilah akibatnya apabila menteri menjaga kepentingan golongan korporat, bukannya rakyat.

Sepatutnya, selepas berbilion ringgit pampasan yang dibayar kerajaan, para pemegang konsesi tidak perlu lagi mengemukakan tuntutan kenaikan kadar tol. Namun, hal yang sebaliknya berlaku apabila para pemegang konsesi terus menerus menuntut kenaikan kadar tol.

AMK melihat wujud kemungkinan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan tiadanya ketelusan dalam pemberian sesuatu konsesi. Sekiranya kerajaan tetap mahu mengekalkan konsesi, AMK menggesa supaya pemberian konsesi dibuat secara tender terbuka yang mempunyai ciri-ciri yang lebih telus dan boleh dipantau oleh rakyat. Namun, begitu, AMK merasakan bahawa adalah lebih bijak jika semua perjanjian konsesi dikaji semula.

Pada asalnya, penswastaan pembinaan lebuhraya adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, namun pada masa kini, beban tersebut tetap ditanggung oleh kerajaan melalui pemberian subsidi.

Menurut Majlis Tindakan Ekonomi Negara,JPM , sehingga Disember 2004, kerajaan telah membayar sejumlah RM 45.585 bilion sebagai subsidi kepada 12 syarikat pemegang konsesi lebuhraya.

Difahamkan bahawa lebuhraya PLUS sepanjang 848km dibina dengan kos RM6,481.8 juta, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) sepanjang 48km dengan kos RM1,974 juta, Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) sepanjang 26km dengan kos RM1,717 juta, Lebuhraya Damansara-Puchong sepanjang 40km dengan kos RM1,204 juta dan Jambatan Pulau Pinang sepanjang 13.5 kilometer dengan kos RM850 juta. Kos pembinaan 5 lebuhraya ini hanya bernilai RM12226.8 juta iaitu 27 peratus daripada jumlah pampasan yang telah dibayar kerajaan sehingga akhir tahun 2004.

AMK percaya jumlah pampasan yang telah dibayar kerajaan sekarang telah pun melebihi kos pembinaan semua lebuhraya di Malaysia. Justeru, AMK sekali lagi menggesa kerajaan supaya mendedahkan semua kontrak konsesi tol seperti yang telah dijanjikan Perdana Menteri awal tahun lalu.

Hasmuzair Hassan
Exco Angkatan Muda KeADILan

Tiada ulasan: