Kerana Hindraf, majikan tolak pekerja India.
Oleh SA'ODAH ELIAS.
PUTRAJAYA: Laporan salah yang menyebut Malaysia membekukan pengambilan pekerja dari India mendapat liputan besar di negara itu. Ia menyebabkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Samy Velly, yang melawat negara itu, menjadi "buruan" ratusan pemberita yang ingin kepastian.
Keadaan itu juga memaksa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberikan penjelasan panjang lebar mengenai keadaan sebenar setelah isu itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
"Kita tidak membekukan pengambilan pekerja dari India. Tidak ada pembekuan atau pengharaman.
"Banyak majikan sendiri menolak pekerja dari India walaupun kebenaran telah diberikan untuk mereka mengambil pekerja dari negara itu berikutan perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
"Isu Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) menyebabkan ramai majikan tidak selesa mengambil pekerja dari India," katanya.
Katanya, penolakan pekerja dari India itu tidak dipengaruhi oleh dasar kerajaan, tetapi atas pilihan majikan sendiri.
"Saya akan berterus-terang. Berikutan apa yang berlaku akhir-akhir ini, tunjuk perasaan dan sebagainya, ramai majikan berasa tidak senang mengambil pekerja dari India dan telah meminta pekerja mereka itu ditukarkan dan kita telah memberi mereka kebenaran untuk berbuat demikian," tambahnya.
Sebelum ini agensi berita asing melaporkan kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja profesional, teknologi maklumat (IT) serta pekerja-pekerja khusus untuk kuil Hindu dari India.
Laporan itu yang mendakwa Malaysia mengharamkan pengambilan pekerja kuil dari India -- seperti pemalu gendang, pengukir patung dan sami telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Hindu di kedua-dua negara.
Radzi berkata, kerajaan bagaimanapun memang berhasrat menggalakkan lebih ramai masyarakat Hindu tempatan mengambil alih tugas-tugas itu yang selama ini dipikul oleh pekerja-pekerja dari India.
"Kini terdapat seramai 5,468 pemukul gendang, pengukir patung dan sami Hindu dari India bertugas di kuil-kuil di negara ini. Sebahagian daripada mereka telah berada di negara ini lebih 10 tahun. Jadi kita ingin hadkan, mungkin mereka boleh berada di sini sehingga lima tahun sahaja.
"Selepas itu, bolehlah pekerja Malaysia mengambil alih tugas-tugas di kuil," tambahnya.
Katanya, sejak tiga bulan lalu, kerajaan telah mengetatkan syarat bagi pekerja-pekerja kuil dari India untuk melanjutkan tempoh tinggal di negara ini.
"Bagaimanapun, kita belum lagi sampai ke tahap tidak membenarkan mereka terus tinggal di sini, atau menolak permohonan baru untuk tujuan itu. Kita cuma bersikap lebih berhati-hati dan meneliti semua permohonan dengan lebih halus," katanya.
Menurutnya, hasrat mengurangkan pekerja di tempat-tempat ibadat daripada kalangan orang asing bukan hanya terhad kepada kuil-kuil Hindu sahaja, tetapi meliputi semua rumah-rumah ibadat semua agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan