Denda RM100,000 jika sorok minyak masak
SUBANG JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memastikan peniaga yang dikesan menyorok atau menyeludup minyak masak serta tepung sepanjang Ops Suri, dikenakan denda maksimum RM100,000.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pembangunan) kementerian itu, Iskandar Halim Sulaiman, berkata sejak operasi dilancarkan Isnin lalu, 10 peniaga dikesan melakukan kesalahan itu membabitkan rampasan 10,316 kilogram minyak masak bernilai RM26,400.
“Peniaga terbabit akan didakwa di mahkamah dan kita akan pastikan mereka dikenakan denda maksimum,” katanya selepas melakukan pemeriksaan minyak di pasar raya Mydin dekat sini, semalam.
Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, peniaga terbabit boleh didenda maksimum RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
Iskandar Halim berkata, operasi itu akan diperluas ke seluruh negara sehingga bekalan minyak masak dan tepung pulih.
Beliau mengingatkan peniaga catuan minyak masak dibatalkan selepas kerajaan meningkatkan kuota pengeluaran minyak masak subsidi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan