HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Januari 2008

Lelaki Kristian dibenar halang MAIWP tuntut mayat isteri.



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini hari ini membenarkan permohonan injunksi sementara oleh seorang pengurus pusat snuker bagi menghalang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menuntut mayat isterinya yang didakwanya beragama Kristian semasa dia meninggal dunia Ahad lepas.

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh Karpal Singh, peguam yang mewakili plaintif Ngiam Tee Kong, 52.

Beliau turut membenarkan permohonan Ngiam untuk menghalang Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), ejen atau kakitangannya daripada menyerahkan mayat isterinya Mong Sau Lan, 53, kepada MAIWP.

Hakim Lau menetapkan 18 Jan ini untuk mendengar permohonan inter-parte (kedua-dua pihak).

Dalam writ saman yang difailkan pada 2 Jan lepas, Ngiam berkata Mong meninggal dunia pada 30 Dis tahun lepas dan mayatnya kini masih berada di bilik mayat HUKM.

Menurutnya mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun 1979 di Pejabat Pendaftaran Sivil, Petaling Jaya, dan sebelum meninggal dunia, isterinya mengamalkan ajaran agama Kristian.

Ngiam mendakwa dia telah menuntut mayat isterinya di HUKM tetapi dimaklumkan (oleh HUKM) bahawa penyerahan mayat itu kepadanya adalah bertujuan bagi diadakan upacara sembahyang mengikut agama Kristian dan selepas itu mayat tersebut harus dikembalikan kepada MAIWP bagi tujuan pengebumian secara Islam.

Ngiam berkata beliau enggan mematuhi permintaan itu dan menuntut supaya mayat isterinya itu diserahkan kepadanya sebagai suami yang sah tetapi defendan tidak bersetuju dengan permintaannya.

Katanya pada 31 Dis tahun lalu, beliau telah menerima surat 'Perakuan Masuk Islam' isterinya di bawah kuasa Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan mengikut surat itu isterinya telah memeluk Islam di sebuah rumah di Flat Sri Melaka, Cheras, pada 10.45 pagi, 24 Dis tahun lalu serta telah didaftarkan di jabatan tersebut pada 31 Dis tahun sama.

Ngiam mendakwa perakuan masuk Islam itu tidak mengikut kuasa undang-undang yang sah. BERNAMA

Tiada ulasan: