HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Januari 2008

Minyak masak dicatu: Dihad beli lima kilogram sahaja seorang mulai minggu depan.
Oleh: HAMDEN RAMLI.



PUTRAJAYA – Mulai minggu depan, orang ramai akan dihadkan membeli minyak masak maksimum lima kilogram sahaja bagi menangani masalah kekurangan bahan itu yang semakin meruncing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, pelaksanaan peraturan tersebut akan berdasarkan kaedah catuan gula yang pernah dilakukan semasa krisis kekurangan bahan itu.

Bagaimanapun, jelasnya, kementeriannya sedang memperhalusi lagi kaedah pelaksanaannya bagi memastikan ia mencapai matlamat.

“Ini bukan kali pertama kita mengehadkan pembelian barangan kawalan. Masa krisis kekurangan gula kita pernah mengambil langkah yang sama. Jadi, pendekatan yang sama akan digunakan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan semua pekilang minyak masak dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.

Sebelum ini beberapa negeri dilaporkan kehabisan stok minyak masak sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan pengguna.

Antara negeri yang dilaporkan teruk terjejas adalah Kelantan, Pahang, Melaka dan Kedah. Malah, beberapa pasar raya besar sekitar ibu negara turut dilaporkan mula mengalami masalah kekurangan minyak masak.

Pada masa yang sama Shafie menjelaskan, kerajaan juga akan meningkatkan kapasiti pengeluaran minyak masak sebanyak 10 peratus kepada 53,886 tan metrik sebulan berbanding 48,988 tan metrik pada masa ini.

Katanya, langkah-langkah segera itu terpaksa dilaksanakan bagi mengawal peningkatan trend pembelian minyak masak dalam peket kecil oleh pengguna daripada kalangan industri.

Beliau menambah, selain itu, punca lain yang menyebabkan kekurangan minyak masak adalah masalah ketirisan yang berlaku di peringkat pengedaran.

“Salah satu daripadanya adalah penyeludupan. Oleh itu kami minta bantuan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) untuk memantau perkara ini,” katanya.

Shafie berkata, pertambahan pasar raya dan pusat-pusat niaga serta perkembangan pesat sektor industri kecil dan sederhana menyebabkan berlaku peningkatan dalam permintaan sehingga menjejaskan bekalan sedia ada.

“Sebagai langkah jangka panjang kami akan melihat semula struktur pengagihan bahan itu bagi mengelak berlaku ketirisan dan jika perlu undang-undang diperketatkan, kami akan lakukan,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak panik dengan membeli barangan tersebut melebihi keperluan keluarga.

“Ini akan menjadikan masalah bertambah buruk,” katanya.

Tiada ulasan: