HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Januari 2008

Mangsa cabul tidak cam suspek kes Nurin.



KUALA LUMPUR: Beberapa kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa kes culik dan cabul di Kampung Baru tahun lepas, tidak dapat membuat pengecaman terhadap dua lelaki yang ditahan pada Sabtu dan Ahad lepas bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Ismail Omar hari ini.

Mereka juga tidak dapat mengecam sebuah bangunan kosong di Jalan Tun Razak, tempat kerja salah seorang lelaki yang ditahan.

Ismail berkata siasatan polis masih diteruskan walaupun kanak-kanak perempuan terbabit gagal membuat pengecaman.

"Kita masih meneruskan siasatan dengan pesat dan kita mempunyai cara penyiasatan tersendiri. Kalau ada petunjuk baru kita akan kaji kesahihannya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Eye Glo Plus kepada Polis Diraja Malaysia di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman di sini hari ini.

Polis baru-baru ini menahan dua lelaki setelah mendapat laporan bahawa raut wajah mereka seiras dengan fotofit suspek yang diedarkan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin, 8, yang mayatnya dijumpai dalam sebuah beg sukan pada 17 Sept lepas.

Beliau berkata polis turut mengambil ujian DNA ke atas kedua-dua lelaki yang ditahan dan masih menunggu laporan keputusan ujian itu.

Katanya pengambilan ujian DNA merupakan antara proses yang dilakukan dalam sesuatu penyiasatan polis seumpama ini.

"Kita buat siasatan daripada pelbagai sudut dan memerlukan masa. Semua bukti dan maklumat yang dikumpul akan kita analisis sebelum tindakan selanjut... harap bersabar," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai sikap segelintir masyarakat yang menyalurkan maklumat palsu berhubung kes kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, 5, Ismail berkata polis memandang serius perkara itu.

Katanya maklumat palsu seumpama itu akan menyulitkan proses siasatan polis dan sikap pihak yang mendapat kepuasan dengan melihat kesengsaraan orang lain dianggap tidak wajar.

"Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penghantaran SMS palsu akan dirujuk kepada undang-undang yang sedia ada. Tetapi kalau ada maklumat sahih, tolong tampil dan bekerjasama," kata beliau.

Polis menahan seorang remaja lelaki di Bagan Serai, Perak, pagi ini kerana dipercayai menyalurkan maklumat palsu berhubung kes kehilangan Sharlinie.

Semalam, polis turut menahan seorang pembantu rumah warga asing berumur 27 tahun di Johor Baharu kerana menghantar SMS palsu kepada keluarga mangsa sejak hari pertama kehilangannya. BERNAMA

Tiada ulasan: