HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Januari 2008

Menilai janji Najib dalam 'trend' BN roboh masjid.
Wan Nordin Wan Yaacob.



Bernama melaporkan, kerajaan pusat berjanji akan menjadikan Kelantan sebagai pusat ketamadunan Islam yang terbilang sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali menerajui negeri itu daripada PAS selepas pilihan raya umum nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah awal dalam memperkasakan Islam ialah membina masjid kerana ia menjadi pusat tauhid kepada perkembangan Islam.

Beliau berkata walaupun sehingga kini BN masih belum memerintah Kelantan namun langkah membina masjid tetap diberi keutamaan sekalipun tewas pada pilihan raya umum dan jika BN menang projek memperkasakan masjid akan menjadi lebih lancar.

"Harap menanglah kerana ia akan melancarkan proses pembinaan masjid dan mempercepatkan pusat tamadun Islam di Kelantan," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah masjid baru An-Nur, Guchil hari ini.

Melihat kepada janji pilihanraya Najib ini, kenyataan Timbalan Presiden Umno itu perlu dinilai semula dengan beberapa fakta yang mungkin boleh dimanfaatkan rakyat Kelantan sebagai 'pedoman pilihan raya'.

Di negeri yang diperintah BN, meskipun masjid dibina hampir setiap tahun, namun usaha memakmurkannya sukar dilihat, hatta program keagamaan pun disekat dengan pengklasifikasian yang mengikut selera mereka.

Di negeri yang diperintah BN juga seperti di Selangor, beberapa surau yang hidup dengan program keagamaan dihapuskan kerana bagi mereka ianya ada kaitan dengan pembangkang.Masjid hanya penuh pada bulan Ramadan, hari Jumaat atau hari kebesaran sahaja, selebihnya hanya tinggal imam dan siak masjid sahaja.

Antara surau yang pernah dirobohkan ialah Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Surau Kampung Berembang, penutupan Surau Al-Ikhwan di Puchong Perdana selain Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas dan meroboh Surau Fatima Al-Zahra, Taman Kosas; Masjid Al Hidayah Kelana Jaya, Masjid Al Munawwarah Shah Alam, Surau Ar Rasyidin Gombak dan Masjid Darul Ehsan Subang Jaya..

Selain itu, pada 17 April 2006, Surau Seksyen Dua, Taman Bandara Puteri Jaya (Sungai Petani) yang masih dalam pembinaan dirobohkan.

Pada 26 Mei 2005, Masjid Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal dirobohkan.

Semua surau dan masjid yang diroboh ini adalah surau dan masjid yang sebelum ini aktif menjalankan program keagamaan yang tidak pernahpun disinggahi Najib.

Justeru pada pandangan penulis, rakyat Kelantan tidak terpengaruh dengan 'hadiah' pilihan raya yang ditawarkan Najib ini memandangkan di Kelantan sendiri, Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri adalah orang yang sering memakmurkan masjid-masjid dan surau-surau dengan memberi tazkirah, mengimami solat dan berkhutbah.

Jika masjid baru hendak dibina di Kelantan, penulis percaya yang akan memakmurkan masjid ini antaranya Tuan Guru Nik Aziz sendiri yang sudah biasa dengan rutin tersebut baik semasa menjadi Menteri Besar mahupun sebelum mengepalai Kelantan.

Begitupun, penulis tidak pernah mendengar Timbalan Perdana Menteri 'mengimami' solat mahupun membuat takzirah, jauh sekali membaca khutbah.

Tiada ulasan: