HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Januari 2008

Negeri Sembilan sarang terkini pengedar dadah.



SEREMBAN: Pengedar dadah di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur yang merasai bahang akibat kekerapan polis mengadakan operasi di negeri tersebut, kini beralih pula ke Negeri Sembilan.

"Negeri ini bukan merupakan pusat pengedaran dadah. Apa yang ada adalah limpahan dari negeri jiran akibat kekerapan operasi polis. Pengedar dadah ini bergerak menggunakan kenderaan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supt Ravi Chandran.

Beliau berkata misalnya pada pukul 3.15 pagi tadi, polis memberkas dua pengedar dadah berusia 21 dan 25 tahun yang datang dari Klang, Selangor.

Mereka diserbu ketika sedang menunggu ejen dalam sebuah kereta di Taman Kasturi, katanya.

"Pergerakan pengedar tersebut telah diperhatikan selama sebulan dan dengan tertangkapnya seorang lelaki yang menjadi ejen mereka kira-kira 13 jam sebelum itu di sebuah rumah kosong di Kg Baru Pantai, menghasilkan bukti penting kepada polis," katanya.

Ravi berkata ejen itu ditangkap bersama 8.5 gram heroin.

Polis turut menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin dan pil ekstasi serta eramin yang mempunyai nilai pasaran sebanyak RM45,253 dari kereta pengedar tersebut.

"Dengan tertangkapnya dua lelaki itu, polis berjaya menyekat usaha kumpulan pengedaran dadah yang berpusat di Klang yang cuba menyeludup masuk ke negeri ini.

Kita juga sudah menghantar maklumat kepada polis Selangor untuk tindakan susulan di Klang," katanya.

Katanya sepanjang tahun lepas, polis negeri menangkap 137 pengedar dadah iaitu meningkat sebanyak 90 peratus berbanding 2006 dan dari jumlah itu seramai 67 orang akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

"Peningkatan 90 peratus itu bukan bererti Negeri Sembilan sudah menjadi pusat pengedaran dadah sebaliknya ini membawa maksud bahawa polis negeri ini sudah mencatat kejayaan dari jumlah tangkapan," katanya.

Seramai 93 orang yang menjadi dalang dan perancang dalam pengedaran dadah juga berjaya diberkas dan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas), katanya.

Dalam tempoh yang sama, seramai 776 orang juga telah ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan seramai 2,917 penagih dan pengguna dadah berjaya diberkas, katanya.

Polis juga merampas sejumlah dadah dan pil yang mempunyai harga pasaran RM500,000 serta menyita harta benda serta akaun mereka bernilai lebih dari RM900,000. BERNAMA

Tiada ulasan: