Paksa dan takutkan rakyat, tindakan Abdullah melampau.
Intan Abdullah.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali memperjudikan diri dan masa depan negara dengan mengundi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang disifatkan sebagai memaksa dan melampau.
"Apa yang dinyatakan tersebut menunjukkan Abdullah dan Umno-BN resah dan takut dengan perkembangan yang berlaku mutakhir ini di kalangan rakyat khususnya pengundi yang telah memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara pentadbiran kerajaan sekarang," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurutnya, secara umum rakyat kini sedang mempersoalkan kualiti kepimpinan Abdullah serta anggota kabinetnya yang terang-terangan gagal mempamerkan perkhidmatan dan mutu pengurusan negara yang memberi manafaat kepada mereka.
"Bahkan apa yang dilakukan Abdullah menerusi kenyataan tersebut adalah untuk menakut-nakutkan rakyat, bahawa mereka perlu mengundi BN walau seburuk manapun keadaan mereka kerana keadaan akan menjadi lebih buruk jika diperintah oleh pembangkang.
"Hakikatnya, negara kini ibarat rumah yang sedang menanti masa untuk runtuh, sekiranya kita masih tinggal di dalam rumah tersebut maka kita mungkin akan menjadi mangsa yang akan mengalami kecelakaan," jelasnya.
Justeru, ujarnya lagi rakyat perlu melihat situasi yang ada sekarang ini untuk membuat pilihan terbaik yakni sama ada untuk terus tinggal di dalam rumah tersebut atau berpindah ke rumah yang lebih baik.
"Rumah yang ada sekarang ini telah dimakan anai-anai. Sedangkan kita punya kemampuan untuk membina rumah baru supaya kita berpeluang untuk melayari kehidupan yang lebih baik," katanya.
Tegasnya, persoalan utama sekarang ini bukan lagi memperjudikan nasib rakyat sebaliknya nasib rakyat sekarang ini malang akibat ditadbir kerajaan yang tidak berkualiti serta tidak mengendahkan kepentingan mereka.
Bahkan, ujar Mahfuz lagi apa yang dizahirkan Abdullah mencerminkan bahawa beliau takut dan tidak yakin dengan sokongan pengundi dalam pilihan raya akan datang sehingga memaksa beliau mengeluarkan kenyataan tersebut.
"Kalau dia yakin, tak perlulah cakap macam tu. Ini politik terdesak, menakut-nakutkan dan memaksa rakyat," ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan bahawa ia adalah salah satu bentuk kempen awal Umno-BN bagi mengekalkan sokongan ke atas mereka yang dilihat sudah semakin berkurangan lantaran isu-isu yang datang bertimpa-timpa sejak akhir-akhir ini.
Semalam, Abdullah ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Pejabat Perdana Menteri di perkarangan Kompleks Seri Perdana dilaporkan berkata bahawa beliau yakin akan menang, dengan berpegang kepada pengalaman yang begitu lama memerintah dan kejayaan yang diperoleh secara umum, baik dalam ekonomi, membasmi kemiskinan dan meningkatkan pembangunan pendidikan.
"(Justeru) rakyat kena fikir betul-betul kerana penentuan kerajaan yang memerintah bergantung kepada parti yang ada hubung kait dengan pembangunan, kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara," katanya. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan