HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Januari 2008

Penduduk Taman Medan gempar penemuan anak patung.


PETALING JAYA - Penduduk Taman Medan PJS 2 semalam gempar dengan penemuan anak patung milik kanak-kanak perempuan Sharlinie Mohd Nashar, 5, dipercayai diculik, yang diletakkan di atas sebuah tembok jalan kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Patung itu dalam keadaan duduk dikatakan diletak oleh seorang lelaki yang menaiki Proton Wira berwarna hitam bersama seorang pemandu.

Menurut saksi, seorang penjual burger, anak patung berukuran satu meter itu diletak oleh lelaki terbabit sebelum bergegas meninggalkan tempat itu.

Penemuan terbaru itu menimbulkan rasa kehairanan penduduk setempat sehingga menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke tempat tersebut untuk melihat apa yang berlaku sekaligus mengundang misteri sama ada ia berkaitan dengan kehilangan Sharlinie.

Polis yang tiba pada pukul 10.40 malam, membawa anak patung itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya (IPDPJ) untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis IPDPJ ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi Bernama mengesahkan penemuan itu dan berkata siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti sama ada ia ada kaitan dengan kehilangan Sharlinie.

“Kita tidak tahu apa motif sebenar patung itu diletakkan di sana. Polis akan jalankan siasatan,” katanya.

Sharlinie dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya di taman permainan yang jaraknya kira-kira 200 meter dari rumah mereka pada pukul 11.30 pagi Rabu lepas. — BERNAMA

Tiada ulasan: