Pil ‘cuci benih’ pilihan gadis kota.
Oleh ASRON MUSTAPHA.
KUALA LUMPUR – Semudah membeli pil pening untuk membuang janin.
Begitulah kata-kata yang menunjukkan betapa senangnya untuk menggugurkan kandungan selepas terlibat dengan seks bebas.
Ia mudah dibeli di mana-mana pada bila-bila masa, malah harganya juga murah.
Itulah luahan dua orang gadis yang menyifatkan pil ‘cuci benih’ yang dijual di ibu kota adalah jalan ‘penyelamat’ selepas terlanjur dan mengandung.
Mereka sebenarnya tiada pilihan kerana caj untuk menggugurkan di klinik memerlukan ongkos yang tinggi.
“Saya terdesak dan tidak mempunyai pilihan lagi selain menggugurkan kandungan dan hendak gugur di klinik saya tidak mempunyai wang yang cukup.”
Demikian pengakuan seorang pelajar sebuah universiti tempatan yang mahu dikenali sebagai Lili, 23, yang pernah menggugurkan kandungan secara sendirian di rumah dengan mengambil pil ‘cuci benih’ tanpa merujuk kepada doktor.
Menurutnya, dia bagaikan hilang arah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sebaik sahaja mengetahui mengandung dua bulan kerana ketika itu teman lelakinya masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
“Jika tidak gugurkan, perkara ini pasti diketahui keluarga, mati saya dipukul oleh bapa yang merupakan seorang berpengaruh di kampung,” jelasnya.
Kata Lili, ketika itu dia pernah merujuk kesnya ke klinik dan doktor mencadangkannya supaya menggugurkan kandungan dengan bayaran sebanyak RM870.
“Waktu itu saya tidak mempunyai wang sebanyak itu, tetapi saya bernasib baik apabila seorang rakan memberitahu yang kandungan saya boleh gugur dengan mengambil pil dengan harga yang murah,” ceritanya.
Gadis itu seterusnya menceritakan pengalamannya, selepas sehari memakan ubat berkenaan, dia mula merasai kesan pil yang dibeli itu apabila perutnya ‘memulas’ seperti senggugut.
Menurutnya, sejam selepas sakit perut, dia mula mengalami tumpah darah dalam kuantiti yang banyak sehingga tidak mampu berjalan akibat terlalu lemah.
Akibat mengalami tumpah darah yang banyak, Lili memberitahu, dia terpaksa berehat selama tiga hari bagi memulihkan semula tenaganya dan dalam tempoh tersebut, semua makan minumnya dijaga oleh rakannya.
Namun, selepas setahun ‘membunuh’ zuriatnya sendiri, Lili terus dihantui perasaan bersalah yang terlalu mendalam sehingga membuatkan dia sering kali menangis seorang diri.
“Bayangan hitam itu sering kali menghantui dan saya tidak tahu apakah dosa saya ini akan diampunkan,” katanya yang sudah berpisah dengan teman lelakinya.
Sementara itu, seorang lagi wanita yang pernah menggugurkan kandungan dengan kaedah yang sama yang mahu dikenali sebagai Zura, 26, pula mendakwa pengguguran menggunakan pil ‘cuci benih’ telah menjadi sebahagian daripada cara hidup wanita kota.
“Cara ini lebih mudah dan senang, tetapi biasalah, bila caranya mudah risiko yang perlu ditanggung pula semestinya lebih tinggi.
“Kebanyakan mereka yang nekad melakukannya adalah wanita yang terdesak. Begitu juga saya, semasa membuat keputusan untuk menggugurkan kandungan walaupun sedar risiko nyawa yang menjadi pertaruhan,” katanya.
Zura adalah antara wanita kota yang memilih untuk tinggal bersama teman lelaki walaupun mereka masih belum mempunyai hubungan suami isteri yang sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan