HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Januari 2008

Sehari 9 pejabat kena ceroboh.


BUTTERWORTH – Kemudahan tiga kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang tidak membawa apa-apa makna apabila ia tidak dapat membantu polis menyiasat kejadian sembilan ruang pejabat di Menara NB, Jalan Bagan Luar di sini.

Ini kerana tiga buah CCTV yang dipasang di pintu masuk utama bangunan tersebut tidak berfungsi.

Kebanyakan ruang pejabat yang dipecah masuk termasuklah yang disewa beberapa syarikat perkapalan.

Kejadian itu yang berlaku antara pukul 8 malam kelmarin hingga 8 pagi semalam itu disedari oleh beberapa pekerja dari syarikat terbabit apabila mereka ingin memulakan tugas harian pukul 8.30 pagi di bangunan 21 tingkat itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Wan Abdullah Tuanku Said berkata, pemeriksaan terhadap kesemua sembilan pejabat berkenaan mendapati tujuh daripadanya mengalami kerugian apabila pelbagai peralatan dicuri.

“Pemeriksaan mendapati pejabat yang terlibat dalam kejadian itu adalah yang beroperasi di tingkat enam, sembilan, 12, 14, 15 dan tingkat 16.

“Berdasarkan laporan yang diterima, antara peralatan yang dilaporkan hilang adalah seperti wang tunai, kamera digital, binokular, projektor, komputer riba, komputer dan beberapa barangan lain yang kesemuanya bernilai kira-kira RM45,000,” katanya.

Menurut beliau lagi, polis turut menerima laporan bahawa terdapat beberapa ruang pejabat di tingkat 19, 20 dan 21 di bangunan itu yang sedang diperbaiki dan diubahsuai untuk dijadikan Kolej Perubatan Pergigian Pulau Pinang oleh sebuah kontraktor digeledah.

Katanya, pekerja yang terlibat dengan kerja-kerja itu yang terdiri daripada warga Myanmar, Vietnam dan Bangladesh juga telah menjadikan ruang yang sedang diubahsuai itu sebagai tempat tinggal mereka.

“Polis sedang menjalankan siasatan sama ada mereka terlibat dalam kejadian ini memandangkan pada pagi tadi (semalam) tiada seorang pun di antara mereka berada di situ.

“Malah pemeriksaan di kawasan itu juga mendapati hanya tinggal pakaian dan bahan makanan milik pekerja terbabit yang dipercayai telah ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.

Wan Abdullah turut menjelaskan polis juga sedang menjalankan siasatan terhadap pihak pengurusan bangunan tersebut sama ada memberi kebenaran kepada pekerja warga asing itu menetap di bangunan tersebut.

Sehingga petang semalam katanya, empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 52 tahun yang terdiri daripada pengawal keselamatan dan pekerja kontrak telah ditahan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Layar Mewah Logistics (M) Sdn. Bhd., Mohd. Ismail Jalal Khan berkata, kejadian itu merupakan yang pertama berlaku di bangunan itu sehingga menyebabkan banyak syarikat terpaksa menanggung kerugian.

“Apa yang kami kesalkan, tiga buah CCTV di pintu masuk utama bangunan ini tidak berfungsi,” katanya.

Tiada ulasan: