Sindiket edar dadah di IPT tumpas.
DUNGUN – Satu sindiket pengedaran dadah di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini berjaya dilumpuhkan dengan penangkapan dua mahasiswa dan seorang gadis serta rampasan dadah bernilai RM50,000 di Taman Delima 1, Batu 5 dekat sini hari ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaacob berkata, dalam serbuan yang diketuai pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Cif Inspektor Jasmiaizam Mohamad kira-kira pukul 2.30 pagi itu, pihaknya berjaya menemui sejumlah dadah yang dibungkus dalam satu beg plastik di dalam rumah berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas beg plastik itu mendapati terdapat sebanyak 2,396 biji pil kuda yang kesemuanya seberat 228 gram dan lapan botol yang mengandungi serbuk putih dipercayai heroin, seberat 13.6 gram.
‘‘Ekoran penemuan dadah dipercayai bernilai RM50,000 itu, dua lelaki dan seorang gadis kesemuanya berumur 21 tahun yang berada dalam rumah berkenaan ditahan.
‘‘Ini merupakan kejayaan rampasan terbesar di Terengganu dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah yang melibatkan pelajar IPT,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mohd. Hazam Abdul Halim dan Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Dahlan Mohd. Noor.
Ayub menambah, polis turut merampas kereta Proton Wira Aeroback milik suspek yang dipercayai dibeli hasil pengedaran dadah.
“Suspek akan direman bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya
Dalam pada itu, Ayub memberitahu, penglibatan pelajar dalam pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini pada tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.
‘‘Sebanyak 89 kes dadah pada tahun lalu melibatkan pelajar IPT berbanding 110 kes pada 2006,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan