Sekolah diarah tingkat keselamatan
Oleh Shamsul Kamal Amarudin.
IPOH: Kementerian Pelajaran mengarahkan semua sekolah di seluruh negara mengambil langkah tambahan segera untuk meningkatkan keselamatan murid, berikutan beberapa kes kanak-kanak hilang sejak kebelakangan ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata semua pengetua dan guru besar kini perlu memastikan murid yang datang awal dikumpulkan setempat dalam kawasan sekolah, manakala yang pulang lewat juga dikehendaki menunggu ibu bapa di situ.
Pengetua, guru besar dan guru juga diarah supaya memberi peringatan kepada semua murid mengenai pelbagai kaedah menjaga keselamatan diri pada setiap kali perhimpunan dan di dalam kelas sebelum sesi persekolahan berakhir.
Semua murid digalak memakai pakaian seragam sekolah atau baju yang mempunyai lambang sekolah ketika mengikuti aktiviti di luar kelas kerana ia memudahkan mereka mendapatkan pertolongan jika berlaku kecemasan.
"Mereka juga diarah membenarkan penggunaan telefon sekolah kepada murid untuk menghubungi ibu bapa jika diperlukan, manakala guru yang melakukan perubahan masa kegiatan kokurikulum harus memaklumkan perkara itu lebih awal kepada ibu bapa.
"Langkah keselamatan ini hendaklah dilakukan segera sebagai tambahan kepada Program Sekolah Selamat sedia ada," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Permuafakatan Pengurusan Kementerian Pelajaran bersama 26 persatuan guru dan pengarah pendidikan, di sini, semalam.
Pada 2002, kementerian melancarkan Program Sekolah Selamat yang membabitkan kerjasama warga sekolah termasuk guru, pelajar, kakitangan sokongan, pentadbir sekolah, kaunselor dan pengawal keselamatan, selain ibu bapa serta masyarakat.
Ia antara lain bertujuan memastikan keselamatan murid ketika mengikuti sesi persekolahan dan merancang persediaan menghadapi sesuatu krisis yang tidak diingini termasuk kemalangan, bencana alam, keganasan dan seumpamanya.
Menerusi program itu, Jawatankuasa Sekolah Selamat ditubuhkan untuk merangka Pelan Pengurusan Krisis bagi memantau keperluan keselamatan sekolah dan mengenal pasti masalah, mencadang program/dasar serta membantu menguruskan keadaan sebelum atau selepas sesuatu krisis.
Alimuddin berkata, satu pekeliling berhubung langkah tambahan itu akan diedarkan kepada semua sekolah dalam tempoh terdekat dan mereka perlu mematuhinya bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan murid.
"Kementerian berharap langkah tambahan yang diumumkan ini dapat membendung kejadian membimbangkan di kawasan sekolah dan persekitarannya terutama ketika waktu persekolahan, aktiviti luar kelas atau ketika murid pergi serta balik dari sekolah.
"Pada masa yang sama, kawalan keselamatan di kawasan sekolah perlu diperketatkan dengan pengawal keselamatan dikehendaki mengambil butiran pengenalan diri setiap pelawat dan pintu pagar sentiasa dikunci ketika sesi persekolahan," katanya.
Beliau berkata, sekolah yang mampu digalakkan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat strategik sekitar kawasan mereka bagi meningkatkan tahap keselamatan serta mencegah perbuatan menculik kanak-kanak.
Katanya, kementerian memandang serius kes culik kanak-kanak seperti yang berlaku terhadap Sharlinie Mohd Nashar, 5, di Petaling Jaya kerana ia boleh menimbulkan rasa bimbang ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka ketika pergi dan balik sekolah.
"Bagi sekolah yang tidak mampu menyediakan CCTV, kementerian sedang cuba mendapatkannya dengan memohon peruntukan khas daripada kerajaan. Bagaimanapun ini mungkin mengambil masa kerana perbincangan mengenainya sedang dijalankan," katanya.
Alimuddin berkata, antara langkah tambahan lain yang perlu dilakukan sekolah ialah mengadakan kempen keselamatan melalui poster, papan kenyataan, dinding bangunan dan pelbagai kaedah lain untuk dipaparkan di sekitar kawasan sekolah.
"Aspek yang perlu diberi penekanan ialah mengingatkan murid supaya jangan mudah percaya orang tidak dikenali, melalui jalan sunyi, berjalan seorang diri, menerima pelawaan menaiki kenderaan orang tidak dikenali, menerima bantuan atau pemberian orang tidak dikenali dan jika diganggu, lari sekuat hati sambil menjerit meminta tolong," katanya.
Beliau berkata, pengetua dan guru besar juga perlu berbincang dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat bagi meningkatkan tahap keselamatan sekolah dan persekitarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan