25 GRO China ditahan bersama wang, kondom.
BUKIT MERTAJAM: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 25 wanita warga China dipercayai menawarkan perkhidmatan pelayan pelanggan (GRO) dan pelacuran dalam Ops Sayang di sebuah hotel di Jalan Penang di sini, malam tadi.
Penolong pengarahnya Khairul Nizam Md Ras berkata serbuan kira-kira 8 malam itu dilakukan selepas menerima maklumat awam dan risikan berhubung kegiatan wanita warga asing di hotel berkenaan.
"Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 25 tahun, ketika ditahan mereka berada di bilik menunggu yang disediakan dan juga di bilik hotel bersama pelanggan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemui wang tunai antara RM2,700 dan RM9,000 bersama-sama mereka dan dipercayai pendapatan hasil kegiatan tidak bermoral itu.
"Selain wang tunai kami turut merampas empat dozen kondom, pil perancang dan wang tunai dalam mata wang China bernilai RM10,200," katanya.
Khairul berkata kesemua mereka ditahan kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan menjalankan kegiatan tidak bermoral di negeri ini.
Katanya mereka kini direman selama 14 hari di Depoh Tahanan Juru untuk siasatan mengikut Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1959/1963. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan