Siswi RM50 - Upah untuk siapkan tugasan pelajar lain..
Oleh ASRON MUSTAPHA.
KUALA LUMPUR – Adakah ini ada kaitan dengan isu wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak cukup di institusi pengajian tinggi hingga menyebabkan para pelajar terpaksa membuat kerja sambilan?
Golongan pelajar perempuan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kini menjadi sasaran para pelajar separuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk diupah menyiapkan tugasan mereka.
Ini kerana, ramai di kalangan pelajar separuh masa di IPTA ketika ini dikatakan sanggup mengambil ‘jalan mudah’ untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah dengan mengupah pelajar berkenaan.
Mereka yang kebanyakan sudah berkeluarga dan mempunyai kerjaya berbuat demikian dengan alasan sibuk dengan tugas-tugas lain atau sengaja tidak mahu ‘memeningkan’ kepala dengan mengupah pihak lain untuk melengkapkan kursus yang diambil.
Perbuatan menipu itu dilakukan semata-mata untuk ’meraih’ segulung ijazah dengan mudah tanpa perlu bersusah payah menelaah buku di perpustakaan.
KOSMO! difahamkan senario ini wujud di hampir semua IPTA tetapi dalam bilangan yang kecil dan ia dilakukan secara sulit kerana bimbang ia ‘dihidu’ pensyarah.
Golongan tersebut pula hanya memilih pelajar perempuan yang cemerlang dalam peperiksaan kerana kualiti hasil tugasan yang dilakukan mereka lebih baik dan teliti berbanding tugasan yang disiapkan oleh pelajar lelaki.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh pelajar-pelajar perempuan di beberapa buah IPTA sekitar ibu negara yang menyatakan mereka mendapat bayaran sehingga RM50 untuk satu tugasan.
Seorang pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Zila, 22, mendedahkan, dia sering diupah untuk menyiapkan tugasan para pelajar terbabit sejak dua semester yang lepas.
“Selalunya yang mengupah adalah mereka yang mengambil subjek yang sama dengan saya dan memberi alasan mereka terlalu sibuk kerana sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.
“Pada mulanya saya pun tidak mahu tetapi memandangkan kasihan dengan nasib mereka, saya tetap terima. Lagi pun dengan disertakan bayaran setidak-tidaknya ia mampu menanggung perbelanjaan saya di universiti,” katanya kepada KOSMO! di sini semalam.
Zila yang merupakan pelajar tahun dua sebuah universiti di sini memberitahu, setiap semester dia hanya mengehadkan untuk menyiapkan antara tiga hingga lima tugasan sahaja bergantung kepada keadaan.
Menurutnya, bukan dia seorang sahaja yang mengambil upah berbuat demikian tetapi rakan-rakannya juga turut terbabit sama.
Seorang lagi rakannya, Julia, 23, mendedahkan, golongan pelajar yang mengupah beliau terdiri daripada lelaki dan wanita.
“Ada antara mereka yang merayu dan sanggup belanja makan selain upah bagi menyelesaikan tugasan yang diberi pensyarah.
“Mereka upah kami dengan harapan tugasan yang dihasilkan akan mendapat markah yang tinggi sekali gus membantu mereka lulus cemerlang kelak,” ujar beliau yang menuntut di tahun tiga.
Kata Julia, dia sanggup melakukan kerja itu kerana ingin menambah wang saku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan