Skandal Soi Lek, alahai Islam Hadhari – Anwar.
Wan Nordin Wan Yaacob.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan nada sinis tidak mahu memberikan kenyataannya berhubung skandal seks membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek, meskipun mendapat panggilan dari beberapa akhbar luar negara berhubung perkara itu.
"Dari rumah saya di Segambut saya ditemubual oleh SCTV Jakarta mengenai perletakan jawatan menteri dan skandal video seks," katanya..
Anwar dalam tulisannya yang disiarkan dalam blog peribadinya secara sinis berkata, beliau tidak bercadang mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu itu.
Sebaliknya berkata, hanya mahu menonton 'drama MCA' dan sokongan padu pemimpin Umno terhadap Dr Chua Soi Lek.
"Media milik Umno/BN khususnya NST merayu agar rakyat menghormati pendirian Dr Chua Soi Lek yang bertanggungjawab dan sedia memaafkannya.
"Mereka yang terlibat merakam dan mengedar akan didakwa! Tanya Musa Hassan (Ketua Polis Negara) dalam kes sebelum ini! Haha!," kata Anwar sinis.
"PM Abdullah menghormati pendirian Chua. Dan MCA serta Umno turut bersedih.Alahai Islam Hadhari!," ujarnya sinis.
Terdahulu pada 2 Januari lalu, Dr Chua Soi Lek yang juga Naib Presiden MCA mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatan dalam parti serta anggota Parlimen Labis, berkuatkuasa serta merta.
Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang medianya di pejabat Kementerian Kesihatan berikutan pengakuannya sebagai orang yang beraksi dalam DVD lucah membabitkan seorang wanita yang juga rakan karibnya.
Sementara itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataanya berkata, PAS memandang serius isu pembabitan seorang Menteri Kabinet dalam perlakuan seks luar nikah yang dirakamkan dan diedarkan kepada orang ramai dalam bentuk DVD.
"Sungguhpun Dato' Dr Chua Soi Lek telah pun mengumumkan perletakkan jawatannya semalam dan perletakkan jawatan itu diterima oleh Perdana Menteri, namun PAS merasakan tindakan tersebut sekadar suatu tindakan politik demi memelihara imej BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang," ujarnya.
Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, sesungguhnya perlakuan seks luar nikah bukan hanya bertentangan dengan Islam tetapi ia juga bercanggah dengan mana-mana anutan, kepercayaan, amalan dan budaya serta nilai moral yang dipegang oleh rakyat Malaysia.
Pemimpin negara ini perlulah memiliki akhlak dan keperibadian yang baik dan sempurna sehingga boleh menjadi contoh dan ikutan rakyat jelata, katanya.
PAS merasakan sepatutnya Perdana Menteri selaku Pengerusi BN mengarahkan parti MCA agar mengambil tindakan disiplin terhadap Dr Chua.
"Perletakkan jawatannya yang lebih merupakan tindakan menyelamatkan imej dan kedudukan BN itu tidak bererti tanpa sebarang tindakan disiplin diambil terhadap seorang pemimpin bertaraf menteri kabinet seperti beliau. Ini bermakna Perdana Menteri dan BN bersekongkol dengan pemimpinnya yang memiliki masalah akhlak," ujarnya.
PAS juga memandang serius kenyataan Dr Chua semalam bahawa bukan semua yang duduk dalam kerajaan itu bersih, kata Presiden PAS.
Ujarnya, kenyatan itu mencerminkan kepimpinan kerajaan BN yang ada pada hari ini menghadapi krisis moral dan akhlak yang serius yang perlu diberi perhatian oleh rakyat khasnya apabila mereka membuat pemilihan dalam Pilihan Raya Umum akan datang, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan