Wanita ditahan, sebar DVD seks Dr Chua.
Oleh FARIK ZOLKEPLI.
JOHOR BARU: Seorang wanita berusia 29 tahun ditahan bagi siasatan kes mengedar DVD lucah membabitkan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Ketua Polis Johor DCP Datuk Hussin Ismail berkata pemilik salon kecantikan itu ditangkap dekat kedainya di Taman Bukit Perdana, Batu Pahat, pada 2.30 petang semalam.
Beliau menjelaskan, polis turut merampas sekeping DVD dan tiga keping VCD bersama sebuah komputer riba.
"Polis percaya dia bukanlah wanita yang dirakam dalam video itu.
"Dia akan ditahan reman hari ini," katanya kepada wartawan hari ini selepas melancarkan majlis penganugerahan pangkat kepada kira-kira 600 anggota di ibu pejabat polis di sini.
DCP Hussin juga mengesahkan polis telah mengambil keterangan Dr Chua tetapi enggan mengulas lanjut.
"Polis belum mengambil keterangan dari pihak-pihak lain.
"Siasatan ini masih berjalan," katanya.
DCP Hussin menjelaskan, unit forensik Bukit Aman sedang membantu polis negeri untuk menjalankan siasatan di Batu Pahat.
Katanya, kes ini disiasat menurut Seksyen 292 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengedar dan memiliki bahan-bahan berunsur lucah.
Ditanya sama ada pekerja hotel terbabit turut terlibat dalam rakaman seks tersebut, DCP Hussin berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi.
"Polis akan mengambil kira semua perkara dalam siasatan.
"Satu perkara ialah, mengecam siapa yang terlibat dalam DVD," katanya, sambil menggesa sesiapa yang memiliki DVD tersebut agar menyerahkannya kepada polis atau memusnahkannya.
"Adalah satu kesalahan menyimpan DVD seumpama itu, termasuk memindahkan imej video itu ke komputer," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan