HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Januari 2008

Sokong semua calon BN.
Oleh Azman Zakaria dan Norfatimah Ahmad.



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu ahli Umno menyokong penuh sesiapa saja yang dipilih pucuk pimpinan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata sokongan mesti diberi tanpa mengira parti yang diwakili calon terbabit.

"Walaupun ahli Umno, mereka sokong calon parti komponen BN (daripada parti lain). Seperti Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ijok dulu, ahli Umno hendakkan calon Melayu tetapi kita ada muafakat dengan MIC," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno yang dihadiri lebih 3,000 pemimpin Umno bahagian di seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak; Naib-Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad; Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad.

Ditanya sama ada soal calon pilihan raya umum akan datang dibangkitkan pada majlis penerangan lebih dua jam itu, Abdullah berkata, Umno mempunyai 3.4 juta ahli dan ramai boleh menjadi calon.

Beberapa pemimpin yang ditemui selepas majlis penerangan itu, pula berkata dalam taklimat berkenaan Perdana Menteri mengingatkan ahli Umno supaya tidak merajuk sekiranya tidak dipilih sebagai calon.

Presiden Umno itu juga, menurut pemimpin berkenaan, mengingatkan ahli parti supaya tidak berbalah sesama sendiri manakala wakil rakyat hendaklah tidak terbabit dengan rasuah.

Mengenai sama ada sekarang adalah masa yang sesuai untuk beliau membubarkan Parlimen, terutama selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN kelmarin dan majlis penerangan semalam, Perdana Menteri berkata:

"Banyak lagi yang mesti diberi perhatian... banyak lagi persediaan, ini bukan persediaan terakhir."

Ditanya kemungkinan Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat, beliau berkata: "Tengoklah masa terdekat atau terpanjang atau panjang sikit."

Abdullah bagaimanapun berpuas hati dengan persiapan Umno menghadapi pilihan raya walaupun masih ada perkara serta kawasan yang perlu diperbaiki dan diberi perhatian.

Mengenai persiapan MCA serta MIC dan sama ada BN boleh mengekalkan prestasi pilihan raya umum 2004, beliau berkata, suasana 2004 berbeza kerana ia adalah masa peralihan.

"Sekarang pula adalah masa melaksanakan setiap yang dirancang yang sebahagiannya mengambil masa yang panjang untuk menikmati hasilnya.

"Bukan senang... kita boleh buat janji macam-macam dalam satu ayat tapi nak melaksanakannya mengambil masa," katanya.

Beliau memberi contoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mengambil masa lima tahun, Dasar Ekonomi Baru (DEB) lima penggal manakala rancangan pembangunan pula 10 tahun.

"Tak pernah kita berhenti selepas lima tahun... soal perpaduan masih ditekankan sejak dari zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan usaha basmi kemiskinan masih kita teruskan," katanya.

Ditanya lagi sama ada dalam suasana berbeza itu BN boleh mengulangi prestasi 2004, Perdana Menteri berkata:

"Saya rasa tidak (tapi) jika memperolehnya saya amat gembira... saya praktikal. Terdapat perubahan dalam kepimpinan parti dan terdapat banyak harapan supaya berlaku banyak perubahan tetapi saya tidak boleh mengubah segala-galanya.

"Bukannya bermaksud kita belum melakukan apa-apa. Saya sudah mula laksanakan

hampir semuanya yang saya janjikan. Saya dah mula laksanakannya dan ia dalam proses pelaksanaan," katanya.

Mengenai isu itu yang boleh menggugat sokongan terhadap BN, Perdana Menteri mengakui rakyat memang susah hati berlaku inflasi, tetapi kerajaan akan meneruskan usaha meringankan beban orang ramai yang terpaksa berbelanja lebih jika harga barang naik.

"Kita akan mengawal harga barangan kawalan agar tidak naik serta mengelakkan penyeludupan dan perbuatan menyorok barang," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan memansuhkan yuran peperiksaan dan persekolahan bagi mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak, mewujudkan peluang pekerjaan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di luar bandar.

Perdana Menteri yakin segala cabaran, seperti kenaikan harga minyak dan barangan akan dapat ditangani kerana BN mempunyai pengalaman mengatasi pelbagai masalah termasuk krisis politik, kemelesetan ekonomi dan krisis mata wang.

Sehubungan itu, Abdullah mahu ahli parti meningkatkan komitmen terhadap kerja yang diberi serta menambah nilai bagi setiap kejayaan yang dicapai.

Beliau juga mengingatkan ahli parti supaya tidak melakukan sesuatu yang melanggar peraturan parti atau yang boleh mencemarkan imej parti hingga menyebabkan tindakan terpaksa diambil terhadap mereka.

"Kita mesti sentiasa mengingati bahawa apa yang kita perjuangkan adalah dengan niat untuk mendapat mandat bagi meneruskan usaha memajukan negara dan bangsa.

"Kita mesti laksanakan usaha dengan bersungguh-sungguh supaya kita dapat kejayaan yang bertambah setiap tahun," katanya.

Mengenai Pas yang mahu menjadikan Malaysia negara kebajikan jika memenangi pilihan raya, beliau berkata, rakyat kini lebih berilmu dan mampu berfikir.

"Biarlah... rakyat lebih tahu sama ada itu mempengaruhi mereka atau tidak," katanya.

Mengenai persiapan pembangkang yang kini kelihatan lebih bersatu, beliau secara sinis berkata: "Baguslah untuk mereka."

Beliau juga berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu klip video peguam Datuk V K Lingam bukan satu ancaman yang boleh menjejaskan BN.

Tiada ulasan: