HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Januari 2008

SPR larang pengundi pakai inai ketika undi.
Oleh Khairul Anuar Samad.



KOTA BHARU: Pengantin baru mungkin tidak dapat menunaikan hak mereka sebagai pemilih kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang melarang pengundi memakai inai di jari tangan mereka ketika membuang undi pada pilihan raya umum akan datang.

Pengarah SPR Kelantan, Ab Rahim Md Salleh, berkata larangan itu bagi membolehkan urusan pembuangan undi berjalan lancar jika penggunaan dakwat diperkenalkan nanti.

"Jika dakwat digunakan, ia akan dicalitkan sedikit pada kuku sehingga ke kulit jari pengundi dan pemakaian inai pasti menjejaskan kerja penandaan pengundi nanti.

Walaupun belum ada pekeliling untuk menggunakan dakwat pada pilihan raya umum akan datang, semua pihak perlu bersedia.

"SPR ingin mengingatkan pengundi jika penggunaan dakwat itu dilaksanakan, mereka diminta tidak memakai inai menjelang hari pembuangan undi," katanya pada majlis penerangan pegawai petugas peti undi Barisan Nasional (BN), di pejabat Umno Kelantan, di sini semalam.

Penggunaan dakwat khas itu sudah mendapat kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Ab Rahim berkata, pegawai bertugas harus memberi tumpuan khusus memandangkan penggunaan dakwat perkara baru di negara ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga September tahun lalu, 735,531 pemilih disahkan SPR di negeri ini dengan Tumpat mencatat bilangan paling ramai iaitu 78,000 orang dan Gua Musang paling sedikit, (28,000).

Tiada ulasan: