BERSIH kutuk pertuduhan terhadap rakyat yang menghantar petisyen kepada Ahli Parlimen.
Kuala Lumpur - Tangkapan dan pendakwaan yang dibuat ke atas 12 pemimpin dan penyokong-penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih Adil (BERSIH) di bangunan Parlimen Malaysia pada 11 Disember 2007 telah dikutuk dalam sidang media di ibukota hari ini.
Tindakan tersebut disifatkan BERSIH sebagai ‘berunsurkan politik’ dan mencabuli proses demokrasi.
BERSIH menmpertikai jenis demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia sekiranya warga sendiri ditahan dan dihalang daripada berjumpa ahli-ahli parlimen yang dipilih.
BERSIH menambah bahawa Perdana Menteri Abdullah Badawi selalu mengatakan bahawa rakyat sepatutnya berpetisyen melalui saluran-saluran yang betul.
“Apakah saluran yang lebih baik daripada menjalankannya menerusi Parlimen?,” soal jurucakap BERSIH melalui sidang media tersebut.
Dua belas orang, termasuk pemimpin-pemimpin dari keADILan, PAS dan PSM ditahan bersama empat belas orang lain ditahan tetapi telah dilepaskan daripada pendakwaan.
Kesemua mereka berada di luar kawasan menuju ke Parlimen bagi menghantar nota bantahan berkaitan dengan Pindaan Perlembagaan yang mana bertujuan untuk melanjutkan tempoh persaraan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Tindakan pihak berkuasa polis untuk ‘mengunci’ Parlimen pada 11 Disember lepas disifatkan BERSIH sebagai satu penghinaan kepada Parlimen yang sepatutnya mempunyai keistimewaan tertentu.
BERSIH menyamakan Abdullah Badawi setaraf dengan monarki Inggeris, Charles I dengan penahanan tersebut oleh yang mengurung anggota-anggotanya pada tahun 1642.
BERSIH juga mengatakan bahawa permohonan polis daripada mahkamah untuk menghalang pemimpin-pemimpin BERSIH daripada menuju Parlimen menunjukkan pencabulan kepada proses penghakiman di Negara ini.
“Pendakwaan aktivis-aktivis BERSIH melalui penahanan akan menguatkan lagi perjuangan BERSIH ke arah pendemokrasian politik,” kata jurucakap BERSIH.
BERSIH melihat penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pihak polis sebagai satu perkara yang penting kerana pilihanraya yang bersih, bebas dan adil tidak mungkin wujud tanpa perlindungan maruah sivil asas seperti kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
Ini ditambah dengan keperluan sebuah Akta Kesaksamaan Pentadbiran diwujud dan dikuatkuasakan bagi menangani penyalahgunaan kuasa kerajaan dan ahli-ahli politik.
Daripada 12 aktivis BERSIH yang didakwa, 10 daripadanya didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang menyatakan keperluan untuk memperolehi permit polis untuk berkumpul di tempat awam.
Mereka terdiri daripada Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo’Lo’ Ghazali; Pengerusi Pro-tem PSM, Dr Nasir Hashim; Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi; Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Ang Hiok Gai; dan penyokong-penyoong BERSIH yang terdiri daripada Mohd Sabri Shafie, Hashim Awang, Azira Ariffin dan Mohd Badillah Musa.
Mereka dibenarkan ikat jamin RM1,000 setiap seorang. Tarikh perbicaraan mereka ditetapkan di kamar yang sama pada 23-26 Jun 2008.
Seorang lagi penyokong BERSIH, Norazimah Mohd Noor yang didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana secara sengaja memaki pegawai polis pada hari yang sama.
Sebelum ini, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua didakwa kerana mengakibatkan kecederaan terhadap seorang anggota polis semasa enggan dirinya ditahan keana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram. Beliau dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan kesnya akan dibicarakan pada 16 dan 17 April 2008 akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan