HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Januari 2008

Tapak pelancar roket tertua.
Oleh Abdul Halim Yusoff.



Baikonur Cosmodrome dibina sebagai pusat rahsia peluru berpandu Russia kini melaksanakan program angkasa lepas

SOYUZ FG, roket generasi baru yang diperkenalkan sejak 2001 sudah membuktikan kewibawaannya sebagai jentera yang paling boleh dipercayai untuk membawa kapal angkasa Soyuz, temasuk varian terkini jenis TMA ke Stesen Angkasa Antarabangsa ISS.

Tidak banyak negara yang mempunyai teknologi roket, kecuali Russia, Eropah dan Amerika Syarikat. Selain kos tinggi, kesukaran merumuskan campuran oksigen cecair dan kerosen mengekalkan negara berkenaan dalam liga tersendiri sebagai peneraju angkasa lepas. Keupayaan Russia membangunkan roket dan kapal angkasa seperti Soyuz TMA, menyebabkan pelbagai negara di dunia masih mendapatkan bantuan kepakaran negara itu untuk merealisasikan misi mereka ke angkasa lepas.

Hakikatnya, roket dan kapal angkasa memerlukan lokasi sesuai untuk dijadikan tapak pelancaran. Bagi Russia yang mewarisi teknologi angkasa lepas dari Soviet Union, Baikonur Cosmodrome, sebuah kawasan di Baikonur, Kazakhstan menjadi lokasi utama untuk pelancaran roket setiap tiga bulan sekali.

Baikonur Cosmodrome dipilih sebagai lokasi kerana kedudukannya yang sesuai untuk pelancaran roket. Trajektori atau laluan khas roket memerlukan ia dihalakan ke timur sebelum menembusi atmosfera bumi dan memasuki angkasa lepas. Selain itu, tempat terbabit dipilih kerana ia tidak berawan, kawasan di bawahnya gurun yang luas. Justeru, jika roket menghadapi masalah dan pelancaran perlu dibatalkan, tiada rakyat yang akan menjadi mangsa.

Sebelum ini, Baikonur Cosmodrome dikenali sebagai Tyuratam, kini menjadi tapak pelancaran angkasa lepas terbesar dan tertua di dunia. Kedudukannya kira-kira 200 kilometer (km) ke Timur Laut Aral di tebing utara Sungai Darya. Ia dipajak Russia dari Kazakhstan hingga 2050 dan kini dikendalikan Agensi Angkasa Russia (Roskosmos).

Tiada ulasan: