HALAMAN SANTAI

Jumaat, 15 Februari 2008

Bahana cinta monyet
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Fantasi cinta murahan dan mudah terjebak dengan godaan rakan sebaya dikenal pasti punca utama gadis tempatan, terutama remaja sekolah, sanggup melarikan diri daripada jagaan keluarga hingga menjadi ‘halimunan’ yang sukar dijejaki bertahun-tahun lamanya.

Malah, tindakan melarikan diri itu yang dikaitkan dengan kemelut cinta monyet mencemaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana statistik kehilangan gadis tempatan terus meningkat hampir setiap bulan.

Fenomena itu membimbangkan semua pihak kerana pada usia masih mentah, golongan itu berisiko tinggi menjadi mangsa jenayah kekerasan sama ada dirogol, dilacur atau dibunuh.

Berdasar laporan orang hilang yang didedahkan laman web PDRM, lebih 80 peratus daripada 194 individu dilaporkan hilang sejak 2005 terdiri daripada gadis berusia bawah 25 tahun.

Sumber Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata, seramai 38 gadis hilang sepanjang tahun lalu yang dimasukkan ke laman web itu masih hilang hingga kini, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada mereka masih hidup atau sebaliknya.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes sebelum ini, siasatan mendapati kebanyakan punca gadis melarikan diri dari rumah kerana faktor pujukan kekasih, pengaruh kawan dan gelojak jiwa yang inginkan kebebasan.

Difahamkan, polis menerima 6,270 laporan kes kehilangan gadis sejak 2004 hingga Mei tahun lalu dengan peringkat usia 14 hingga 17 tahun penyumbang statistik utama iaitu 4,097 orang.

Berdasarkan laman web PDRM yang sentiasa dikemas kini itu, antara individu yang dilaporkan hilang ialah Siti Balkhiah Ahmad Anas, 15, yang lari dari rumahnya di Taman Desa Murni, Sungai Dua, Kedah, pada 25 Oktober lalu.

Turut disenaraikan, Norashikin Mohd Basir, 17, yang hilang pada 15 Oktober lalu dari rumahnya di Kampung Kuau Beris Kubor Besar, Tawang, Bachok, Kelantan manakala Noratikah Mohd Nasri, 18, hilang dari rumahnya di Tasik Gelugor, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, 24 September lalu.

Noradellah Ishak, 18, hilang pada 1 September lalu dari rumahnya di Bakau Tua, Penaga, Pulau Pinang, Nur Azieyana Aziz, 15, hilang 31 Ogos lalu dari kediamannya di Kilometer 35 Kampung Batas, Changlun, Kedah dan Alia Abdul Rahman, 19, di Pandan Mewah Heights, Ampang, Selangor, 28 Ogos lalu.

Wan Nor Solehah Mat Abd Aziz, 16, hilang pada 26 Ogos lalu dari rumahnya di Kampung Dalik, Jitra, Kedah, Nor Azharamana Busu, 26, hilang di Kepala Batas, Seberang Prai dan Nor Farah Mihat,18, hilang sejak 1 April lalu dari rumahnya di Jalan Ismail, Muar, Johor.

Mis Safena Mat Kiah, 21, hilang sejak 31 Mac lalu dari rumahnya di Kampung Bawal, Banggu, Kota Bharu, Kelantan, Nurul Edayu Suri, 20, hilang dari rumahnya di Kampung Biak, Mukim Jitra, Kedah dan Nurul Akma Zamin, 18, hilang dari rumahnya di Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Kelantan, 22 Mac lalu.

Senarai panjang terbabit menyelitkan nama Noratuakmawati Mohd Zulkipli yang hilang dari rumahnya di Kampung Telaga Ara, Bachok, Kelantan serta Munirah Muhammad, 29, hilang pada 9 Mac lalu dari rumahnya di Kampung Apa-Apa Meranti, Pasir Mas, Kelantan.

Penganalisis jenayah, Kamal Effendi Hashim, berkata punca kebanyakan kes gadis melarikan diri daripada jagaan keluarga akibat pengaruh cinta monyet amat dikesalkan.

Menurutnya, mereka mudah taksub pada cinta berikutan usia selain faktor keadaan hormon estrogen yang mendatangkan keinginan untuk dicintai.

“Keadaan ini tambah merumitkan apabila gadis terbabit tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada ibu bapa menyebabkan mereka mudah hilang pedoman lalu melarikan diri bersama teman lelaki.

“Malah, tindakan ibu bapa yang mengawal ketat pergerakan anak secara luar biasa turut menyebabkan golongan gadis itu mencari ruang untuk melepaskan diri daripada kongkongan,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa tidak seharusnya bersikap pasif dan lebih bersikap terbuka dalam perhubungan dengan anak bagi memastikan tindakan melarikan diri dari rumah dapat dibendung.

Ditanya sama ada penyiaran gambar gadis terbabit dapat membantu orang ramai mengesan mangsa yang hilang, beliau berkata, kebanyakan gambar terbabit diperoleh daripada rekod sekolah atau kad pengenalan yang diserahkan anggota keluarga kepada polis ketika membuat laporan.

“Gambar berkenaan menunjukkan gadis yang hilang memakai tudung hanya ketika di sekolah. Sebaliknya wajah mereka kelihatan lain sebaik lari dan membuka tudung menyebabkan sukar dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan gadis tempatan hampir setiap bulan sejak beroperasi lebih 15 tahun lalu.

Beliau berkata, kehilangan lebih 25 gadis dilaporkan kepada biro pengaduan terbabit sepanjang 2007, namun lebih separuh daripada mereka ditemui semula.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes, gadis yang hilang kerap menjadi mangsa teman lelaki yang memujuk mereka melarikan diri dari rumah atas alasan untuk hidup bersama.

“Golongan itu amat rapuh dan mudah dipujuk dengan kata-kata serta janji cinta sebelum akhirnya menyesal apabila mendapati kehidupan indah yang diimpikan hanyalah ilusi.

“Malah, ada juga kes kasanova atau bapa ayam memikat atau melarikan gadis terbabit untuk diheret ke lembah pelacuran. Biasanya gadis ini akan ditabur dengan kemewahan dan pelbagai kesenangan sebagai taktik paling pantas untuk memujuk meninggalkan keluarga,” katanya.

Tiada ulasan: