HALAMAN SANTAI

Jumaat, 15 Februari 2008

DVD 7 episod aksi seks RM35
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Sebuah premis menjual DVD dikesan tergamak menjual DVD pendidikan yang memaparkan teknik melakukan hubungan seks secara terbuka kepada umum di premisnya.

Lebih memalukan apabila DVD cetak rompak mengandungi tujuh episod bertajuk ‘Kamasutra’ itu dijual kepada semua pelanggan tanpa mengira had usia dengan harga RM35 sekeping.

Selain itu, premis perniagaan itu dipercayai turut menawarkan pelbagai filem DVD dan VCD cetak rompak dengan harga antara RM7.90 hingga RM12.90 sekeping secara terbuka kepada pelanggan.

Khairin Zubir, 38, dari Kondo Rakyat Kuala Ibai, berkata, dia terkejut apabila mendapati premis perniagaan itu sanggup menjual DVD memaparkan teknik melakukan hubungan seks secara terbuka kepada orang ramai.

“Saya terkejut apabila melihat DVD memaparkan aksi seks itu dipamerkan secara terbuka di premis berkenaan sebelum membeli DVD berkenaan sebagai bukti bagi didedahkan kepada media.

“DVD bertajuk ‘Kamasutra’ itu memaparkan pelbagai aksi melakukan hubungan seks yang sungguh menjijikkan dalam tujuh episod yang ternyata tidak sesuai untuk tontonan umum.

“DVD itu menerangkan teknik lengkap melakukan hubungan seks,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, berikutan tindakan peniaga terbabit, tidak hairan premis berkenaan sering dikunjungi remaja hingga menyebabkan mereka mudah terjerumus dengan maksiat.

“Saya kecewa dengan sikap peniaga terbabit yang hanya mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kesan buruk penjualan DVD itu secara terbuka kepada golongan tidak sepatutnya.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan terhadap premis perniagaan itu,” katanya.

Tiada ulasan: