Berkopiah, bertudung labuh tetapi percaya benda khurafat.
KANGAR: Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin kecewa dengan sikap segelintir umat Islam termasuk "yang berkopiah dan bertudung labuh" yang tidak mengendahkan amaran supaya tidak menggunakan sumber air dari kawasan tanah jerlus di Tambun Tulang.
Meskipun notis telah dipasang di kawasan tanah jerlus itu oleh Jabatan Agama Islam Perlis, Jabatan Kesihatan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), saban hari ramai yang mendapatkan air dari lubang tanah jerlus itu untuk tujuan menyembuh penyakit.
"Mempercayai air boleh menyembut penyakit boleh mengganggu akidah umat Islam," katanya yang kecewa mendapati beberapa lelaki Islam berkopiah dan wanita bertudung labuh turut mengabaikan larangan itu kerana mempercayai air di situ berkhasiat.
Notis yang ditampal itu menasihati umat Islam supaya tidak mempercayai air itu sebagai berupaya menyembuhkan penyakit manakala Jabatan Kesihatan Perlis memasang kain rentang meminta orang ramai supaya tidak menggunakan air itu sehingga dibuktikan ia tidak membahayakan kesihatan manakala MADA pula meletakkan notis yang hampir serupa.
Kajian oleh Jabatan Mineral dan Geologi terhadap air itu mendapati ia berasid pada tahap pH5 dan tidak sesuai untuk diminum.
Tinjauan mendapati kawasan sawah padi yang merupakan lokasi tanah jerlus itu semakin membesar akibat tanah yang mula runtuh kerana dibanjiri orang ramai termasuk dari luar Perlis.
Kejadian itu berlaku tidak jauh dari kediaman keluarga Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan rumah keluarga tokoh korporat Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.
Sejak kejadian itu berlaku Isnin lepas, orang ramai berpusu-pusu pergi kawasan itu untuk mendapatkan air dari situ kononnya kerana ia berkhasiat. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan