Tiada perjanjian dengan Dr. M – Abdullah
KUALA LUMPUR . – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tidak wujud perjanjian dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri hanya sepenggal.
‘‘Tiada perjanjian,’’ tegas Perdana Menteri kepada pemberita selepas melancarkan pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur di sini hari ini.
Abdullah, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, walaupun ditanya beberapa kali pemberita kecuali mengulangi jawapannya: “No gentlemen’s agreement (tiada perjanjian mulut).”
Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Dr. Mahathir sebagai berkata, terdapat perjanjian lisan antara beliau dan Abdullah pada 2003 yang menghendaki Abdullah menjadi Perdana Menteri hanya untuk satu penggal sebelum menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ditanya mengenai kesediaan Dr. Mahathir untuk berkempen bagi calon BN, beliau berkata: ‘‘Baguslah.’’
Menjawab soalan mengenai kenyataan Dr. Mahathir hanya akan menyokong calon-calon BN yang berwibawa dan bersih, Perdana Menteri memberitahu: ‘‘BN memang hendak meletakkan calon yang baik.’’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan