Hishamuddin jangan perbodoh generasi muda
Kuala Lumpur - Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda Umno/BN, Hishamuddin Tun Hussien yang menyeru generasi muda agar memberikan sokongan kepada Umno-BN jelas membuktikan Umno-BN di dalam keadaan terdesak untuk meraih sokongan kelompok muda.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar menegaskan dalam kenyataan media yang dibuat bahawa Hishamuddin tidak berbuat apa-apa di dalam mempertahankan generasi muda apabila berlaku pencabulan hak generasi muda yang begitu rakus oleh Umno-BN demi mengekalkan hegemoni mereka untuk terus berkuasa.
“Pada tahun 1999, hampir 600,000 pengundi muda dinafikan hak untuk mengundi demi menghalang manifestasi suara anak muda yang menggesa kerajaan melakukan reformasi total.”
Shamsul juga menambah, “Tekanan yang dikenakan ke atas golongan mahasiswa dengan cengkaman Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) dan juga hambatan kadar faedah menggila PTPTN yang menyebabkan mahasiswa terus menjadi lesu dan layu.”
“Disaat mat dan minah rempit ‘dibelai manja’ Pemuda dan Putera Umno, mahasiswa terus-terusan ditindas dan dikekang daripada bebas berfikir dan berorganisasi yang bertujuan membunuh potensi kelompok intelek muda agar menjadi kumpulan pengikut dan bukan kumpulan pemimpin.”
Kadar penggangguran di kalangan generasi muda masa kini berada di tahap yang membimbangkan. Dianggarkan 70% graduan IPTA mengganggur pada masa kini.
Shamsul menamakan Universiti-universiti yang ditubuhkan UMNO-BN sebagai ‘Kilang Memproses Graduan Menganggur’.
Menteri Pendidikan Hishamuddin Hussein telah melancarkan beberapa initiatif seperti ‘pendidikan percuma’ dan pengekalan Dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang mendapat tentangan hebat daripada kalangan masyarakat.
AMK berpendirian berpendirian bahawa generasi muda sudah semakin jelas melihatbukan sahaja masa depan mereka, tetapi juga masa depan negara bakal tergadai sekiranya Malaysia terus diperintah oleh Umno-BN yang mempertahankan dasar yang menekan dan menindas rakyat, di samping mempertahankan kepimpinan rasuah dan korup.
“AMK tampil sebagai agen perubahan buat generasi muda dengan menjanjikan ruang yang kondusif buat segenap lapisan generasi muda untuk memanfaatkan keupayaan mereka demi menyumbang ke arah pembangunan negara yang mapan.AMK akan terus menyatakan komitmen untuk menjanjikan dan merealisasikan harapan baru buat generasi muda Malaysia.” kata Shamsul.
AMK akan melancarkan Dokumen Harapan Anak Muda Malaysia yang akan menggagaskan masa depan dan tindakan generasi muda Malaysia yang lebih segar dan progresif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan