HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Februari 2008

Kementerian Pengajian Tinggi sedang siasat mahasiswa aktif politik



PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi sedang menyiasat segelintir kecil mahasiswa yang aktif dalam politik kepartian dan mereka bakal berhadapan risiko tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, kata Menterinya Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan ke atas manamana mahasiswa yang terlibat secara langsung dan bergerak aktif dalam kempen pilihan raya umum akan datang, termasuk menarik balik biasiswa mereka.

"Peraturan dalam AUKU jelas menegah pelajar universiti terlibat secara langsung dalam politik dan tindakan tegas berasaskan tahap kesalahan mereka boleh diambil termasuk digantung pengajian.

"Tetapi untuk membuang undi dalam pilihan raya umum itu adalah hak mereka, saya minta mereka turun mengundi dan buat pilihan yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Mustapa berkata hanya segelintir kecil sahaja mahasiswa yang terlibat dalam politik kepartian manakala majoriti pelajar dan pensyarah memahami dasar kerajaan serta mempunyai sikap yang objektif dengan peranan mereka dalam dunia akademik.

"Majoritinya bersama kita dan saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memahami tugas hakiki untuk menimba ilmu dan terlibat dalam kegiatan universiti dan kokurikulum.

"Kita yakin hampir seluruh pelajar tidak mahu mereka diheret dalam kancah politik secara langsung," katanya.

Sementara itu, Mustapa yang ditanya mengenai kedudukannya dalam pilihan raya umum ke-12, berkata beliau menyerahkan nasibnya kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat penilaian ke atas dirinya.

"Terpulang kepada bos saya untuk membuat penilaian sama ada saya layak bertanding dan akan bertanding di mana. Tugas saya ialah melaksanakan kerja dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya.

Kepada soalan sama ada beliau akan kekal di kawasan Parlimen Jeli atau dipindahkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata:" Saya yang menurut perintah." BERNAMA

Tiada ulasan: