Jom Karnival Rakyat Bersih di Kuala Terengganu 22 Feb.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengambil keputusan untuk mengadakan Jom karnival rakyat di Kuala Terengganu pada 22 Febuari ini ekoran kegagalan mendapatkan lokasi di ibu negara.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersih, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi berkata, karnival tersebut diadakan di atas premis persendirian di kawasan Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu mulai jam 3 petang.
Pada sebelah malam pula, kata beliau, satu perhimpunan rakyat secara besar-besaran akan diadakan di pusat bandaraya Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak akan memohon permit dari pihak berkuasa termasuk polis bagi mengadakan karnival tersebut.
"Bersih berpendirian tidak perlu memohon permit kerana ia premis persendirian. Sama ada ia dibenarkan polis atau tidak, karnival tersebut akan tetap diadakan," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Dr Syed Azman yang juga AJK PAS berkata, pihaknya gagal untuk mendapatkan lokasi yang dipohon di ibu negara termasuk di Stadium Melawati di Shah Alam.
Katanya, pihak pengurusan Stadium Negara, Stadium Merdeka dan Dataran Merdeka telah menolak permohonan bersih untuk mengadakan karnival rakyat di lokasi tersebut.
Memo kedua
Selepas gagal mendapatkan lokasi di ibu negara, Bersih mahu mengadakan karnival tersebut di Kelantan, bagaimanapun lokasi yang dikenalpasti sesuai telah ditempah oleh pihak lain.
Berikutan itu, kata beliau, pihaknya terpaksa mengadakan karnival tersebut di Kuala Terengganu.
Sementara itu, Dr Syed Azman berkata, Bersih akan menghantar memorandum kedua kepada Yang di-Pertuan Agong, menuntut diadakan pilihanraya yang adil dan bersih pada 15 Februari ini.
Katanya, pihak Istana Negara telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Pada 11 November lalu, kira-kira 30,000 rakyat berkumpul di kawasan Istana Negara apabila Bersih menghantar memorandum bagi menuntut pilihanraya yang adil dan dan bersih.
Antara pemimpin pembangkang yang terbabit dalam perhimpunan tersebut ialah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan