HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Februari 2008

'NO GENTLEMEN’S AGREEMENT’: SIAPA BOHONG?



Soalnya, apa perlu Dr Mahathir berbohong? Apakah dia masih mahu mencari populariti dan tumpuan umum sebagai manusia yang masih hebat supaya terus diberi perhatian oleh masyarakat umum?

SAMSURI ROSLAN MENULIS ...

Pada 30 Januari 2008, bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Muhamad menyebut terdapat perjanjian lisan antara beliau dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 yang mengkehendaki Abdullah menjadi Perdana Menteri hanya untuk satu penggal sebelum menyerahkan jawatan itu kepada timbalanya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun selepas sehari kenyataan Dr Mahathir disiarkan di dalam media, Abdullah pula berkata tidak wujud perjanjian dengan Dr Mahathir bahawa dia akan menjadi Perdana Menteri hanya sepenggal.

Walaupun diasak berulangkali oleh para wartawan, Abdullah enggan mengulas lanjut sebaliknya mengulangi jawapan `No gentlemen’s agreement’ ( tiada perjanjian mulut).

Kemudian, wartawan cuba meminta ulasan Najib dan dia menegaskan sokongan dan kesetiaannya tetap kepada Abdullah. Tegas Najib lagi, pada masa ini fokus utamanya adalah menghadapi pilihan raya umum.

“Saya tidak tahu mengenai hal itu (perjanjian di antara Dr Mahathir dan Abdullah). Saya komited untuk menyokong Perdana Menteri dan setia kepadanya. Pada masa yang sama, fokus utama saya sekarang adalah pilihan raya umum untuk memastikan Barisan Nasional menang besar”.

Siapakah yang berbohong antara Abdullah dan Dr Mahathir? Dr Mahathir menyebut ada perjanjian lisan yang mahukan Abdullah hanya satu penggal menjadi perdana menteri untuk diserahkan kepada Najib sementara Abdullah pula berkata tiada perjanjian lisan yang mengkehendaki dirinya hanya memerintah Malaysia satu penggal sahaja.

Agak sukar untuk membuktikan perjanjian lisan di antara mereka berdua kerana tiada saksi atau sebarang bentuk rakaman.

Jika benar Dr Mahathir tidak menyebut perjanjian lisan ini dalam setiap pertemuan peribadi sebelum menjelang persaraan beliau di arena politik berarti dia adalah seorang pembohong. Sebaliknya jika wujud perjanjian ini, bermakna Presiden Umno sekarang adalah seorang pembohong.

Mungkin sudah ada pemerhati politik yang boleh `mengagak’ siapa benar dan siapa yang berbohong di antara kedua mereka ini.

Soalnya, apa perlu Dr Mahathir berbohong? Apakah dia masih mahu mencari populariti dan tumpuan umum sebagai manusia yang masih hebat supaya terus diberi perhatian oleh masyarakat umum?

Keadaan lebih `rumit’ kepada ahli dan pemimpin Umno sebelum menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.Apakah tabiat Dr Mahathir sememangnya seorang pembohong?

Begitu juga sebaliknya. Kenapa pula Abdullah perlu berbohong dengan menyatakan tiada perjanjian lisan di antara mereka berdua sekiranya ia benar berlaku.

Apakah di dalam keadaan yang `paling berkuasa’ tindakan mengaku wujudnya perjanjian ini akan menyebabkan Umno atau Barisan nasional kehilangan banyak kerusi? Ataupun imejnya boleh terjejas teruk sebelum menjelang pilhan raya umum dan pemilihan majlis tertinggi dalam perhimpunan Agung Umno akan datang?

Andainya benar kenyatan Dr Mahathir ini, Abdullah boleh menjawab bahawa wujud perjanjian lisan tetapi dia tidak memberikan kata putus sama ada bersetuju atau sebaliknya memandangkan situasi politik ketika itu agak kritikal kepada Umno. Atau juga Abdullah boleh menjawab ini itu adalah pandangan Dr Mahathir dan keputusan masih di tangan beliau.

Abdullah tidak rugi atau kehilangan apapun jika dia mengakui memandangkan banyak perkara yang mahu diselesaikan apatahlagi kedudukan peribadinya sebagai seorang anak ulama. Bagaimanapun jika Dr Mahathir `berbohong’ sememangnya dia seorang `gila publisiti’ dan membenarkan beberapa kenyataan pemimpin dan ahli Umno dia sudahpun `nyanyuk’!

Dr Mahathir sememangnya seorang yang cukup wibawa dan hebat dalam mentadbir negara. Dirinya sebagai seorang yang `realistik’ dan seorang pejuang. Dia pernah berhadapan dengan penjajah Jepun yang memijak perut orang tua di hadapannya ketika di zaman penjajahan dahulu.

Situasi ini tidak pernah dirasai oleh genarasi baru terutamanya di kalangan pemimpin pemuda Umno. Dirinya tidak pernah tunduk kepada Barat walaupun pelbagai tekanan dan gelaran yang diberikan terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia ini yang memerintah hampir 23 tahun.

Begitu juga Abdullah. Anak kepada seorang ulama tersohor di Pulau Pinang dan agak lembut dan berhati-hati dalam setiap pertuturan ketika berhadapan dengan parti pembangkang.

Walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas dirinya namun dia vokal atau kurang memberi sebarang reaksi sebaliknya terus tekun dalam menjalankan amanah sebagai pemimpin utama negara dan parti yang menguasai kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, jika salah seorang ini terbabit sebagai seorang `pembohong’ ia telah membuktikan bahawa ahli politik mesti pandai berbohong untuk mencapai matlamatnya.

Ia juga boleh melahirkan kepemimpinan pemuda Umno yang `pembohong’ walaupun dalam perkara yang kecil sekali kerana sama ada bekas Presiden Umno atau Presiden Umno sekarang telah berbohong untuk kepentingan tertentu.

Mungkin juga ada pihak yang menganggap `sinis’ dan ia disifatkan sebagai `masalah kecil’ dalam politik namun ia membabitkan bekas pemimpin nombor satu dan pemimpin nombr satu yang ada sekarang.

Perjanjian tetap ditunaikan walaupun ia disifatkan sebagai perjanjian lisan. Ciri-ciri manusia `munafik’ adalah apabila berjanji tidak ditunaikan dan mengada-adakan cerita atau fitnah pula boleh dihukum bunuh!

Pada tahun 1996, saya pernah berbual panjang bersama bekas Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Khalid Ibrahim di kediaman ibunya di Pasir Tuntung, Kuala Selangor. Ketika itu, dia sibuk berkempen bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor.

Suatu perkara yang menarik perhatian apabila dia menyebut perbezaan antara karier politik dan perniagaan. Dalam politik, walaupun sudah terdapat perjanjian atau `deal’ termasuk perjanjian bertulis sekalipun tidak berarti perjanjian itu boleh dimetrai atau dipercayai.

Apatah lagi perjanjian lisan.Berbeza dengan ahli perniagaan, sekadar mengangguk kepala atau berjabat tangan sudah membuktikan perjanjian telah dimetrai atau ditepati.

Bagaimanapun, keadaan Khalid sudah berubah dan agak mengejutkan saya. Selepas sekian lama tidak bertemu, tiba-tiba sahaja dia dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor.

Dia juga dilantik sebagai Setiausaha Agung KeADILan Pusat yang baru. Dirinya telah kembali di dalam politik walaupun politik pembangkang. Secara jujur, mungkin juga Khalid masih melihat lebih banyak kebaikan dari keburukan di dalam politik.

Khalid telah melihat di dalam politik juga ada kuasa utama yang boleh membetulkan mana yang hak dan mana yang bathil.

Seperti kata Dr Mahathir, seorang ahli politik yang dipilih bukan sahaja baik tetapi kelihatan baik!!

Tiada ulasan: