HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Februari 2008

KeADILan kutuk penahanan 200 aktivis Hindraf pagi tadi
Roy Rasul


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengutuk sekeras-kerasnya tangkapan ke atas 200 penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang berhimpun secara aman di sekitar Jalan Raja Laut ke Parlimen pagi tadi.

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, tangkapan tersebut disifatkan tatkala Pilihan Raya Umum ke-12 hampir tiba.

Menurutnya tangkapan tersebut bukan satu jalan penyelesaian untuk menangani masalah Hindraf.

"Kita sentiasa konsisten bahawa apa yang dibangkitkan Hindraf tidak diselesaikan kerajaan malah tidak nampak sebarang usaha kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dalam tangkapan tersebut penyokong Hindraf dilaporkan cuba menyampaikan secara simbolik bunga ros kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menimbangkan 18 tuntutan yang dikemukakan di Parlimen mendapat 'tentangan hebat' daripada pihak polis.

Namun polis bertindak menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 300 penyokong Hindraf yang sedang berhimpun..

Shamsul berkata, kerajaan dilihat tidak cuba menangani masalah yang dibangkit dan itulah yang menyebabkab kemarahan kumpulan tersebut makin bertambah.

"Nampaknya tidak ada sebarang rundingan dilbuat kerajaan dengan Hindraf.

"Saya tidak menolak mereka akan terus berdemonstrasi, tunjuk perasaan dan sebagainya kerana kerajaan tidak ambil inisiatif untuk menyelesai masalah mereka," dakwanya.

Katanya, jika kerajaan terus menangkap tidak mustahil orang tersebut akan menjadi lebih berani dan menyatakan pendirian mereka dengan lebih terbuka.

Katanya sebaiknya bagai menangani masalah tersebut kerajaan perlu memanggil perwakilan kumpulan itu untuk perbincangan selain membebaskan mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tambahan pula katanya tangkapan di bawah ISA sebagai satu cara melarikan isu yang sebenar dan sekaligus katanya menggambarkan kelemahan kerajaan.

"Persoalan yang timbul sama ada orang India, China mahupun Melayu sampai bila perkara seperti ini akan berlaku dan adakah sebagai kerajaan kita hendak biarkan perkara seperti itu berterusan," katanya.

Sementara itu, beliau yang akan bertanding di kerusi Parlimen Jasin, Melaka, atas tiket KeADILan berkata, bersama dengan PAS mereka menggempur Jasin hari ini.

Beberapa program seperti edaran risalah, tayangan video secara terbuka dan ceramah dimulakan sejak semalam.

"Sambutan amat menggalakkan termasuk dari kaum India dan China," katanya yang merupakan anak jati Jasin./wann.

Tiada ulasan: