Pengerusi SPR marah wartawan asing
PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, kelmarin menempelak seorang wartawan agensi berita asing kerana menggunakan perkataan 'rigging' dalam soalannya, yang seolah-olah membayangkan berlaku penipuan dalam pilihan raya umum sebelum ini.
Tan Sri Abdul Rashid, yang mengetuai SPR sejak 2000, menegaskan bahawa perkataan 'rigging' bermaksud menipu dengan mengubah kandungan dalam peti undi dan boleh memberi imej buruk bukan saja kepada badan itu, malah negara.
'Awak guna perkataan rigging?... Apa yang awak maksudkan? Perkataan yang awak gunakan itu membawa maksud tidak elok dan memberi kesan negatif kepada semua orang.
'Adakah pernah berlaku dalam pilihan raya umum sebelum ini kandungan peti undi diubah atau ditipu?
'Tolong berhati-hati dengan perkataan 'rigging' kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada semua orang, termasuk imej negara.
'Jika awak maksudkan pengundi hantu, ia tidak ada kaitan langsung dengan perkataan 'rigging'.
'Namun, tidak ada siapa jumpa SPR dan membuktikan wujud pengundi hantu setiap kali pilihan raya umum diadakan,' katanya dalam sidang media bagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 di sini, kelmarin.
Sebelum itu, wartawan agensi berita asing tersebut meminta Tan Sri Abdul Rashid mengulangi jaminan pilihan raya umum kali ini adalah bersih dan adil.
Tan Sri Abdul Rashid, yang jelas tidak gemar dengan pelbagai soalan spekulasi daripada beberapa wartawan laman web berita blog, menegaskan bahawa tidak pernah berlaku penipuan dalam proses pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan