Keluarga sangsi kematian pelatih
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Abdullah Wahab
am@hmetro.com.my
PUCHONG: Keluarga pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mati ketika menjalani latihan asas di Institut Latihan Tentera Udara, Ipoh, Perak pada 30 Januari lalu sangsi dengan punca kematiannya.
Mohd Zaini Ismon, 21, yang baru 24 hari melaporkan diri di institut itu, dikatakan pengsan akibat serangan jantung di padang latihan, kira-kira jam 9.10 pagi dan meninggal dunia sejurus selepas itu.
Keluarga pelatih itu bagaimanapun keliru dengan punca kematian selepas melihat beberapa kesan kecederaan pada muka dan kepala mangsa.
Tambah menghairankan apabila keluarga mangsa mendakwa tidak diberikan laporan keputusan bedah siasat, sebaliknya hanya dimaklumkan secara lisan oleh pihak hospital dan TUDM.
Abang mangsa, Mohamad Kamarul Arifin Ismon, 31, berkata dia melihat kesan kecederaan pada kepala adiknya ketika memandikan jenazah.
“Saya lihat muka sebelah kirinya cedera seperti diseret selain bengkak di bahagian atas kedua-dua telinga.
“Saya bagaimanapun tidak berani bertanyakan perkara itu kerana pihak tentera memaklumkan adik saya pengsan kerana serangan jantung ketika menjalani latihan jasmani,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Bagaimanapun, katanya, sehari selepas kejadian, dia menerima panggilan daripada seorang yang bekerja di pusat berkenaan memaklumkan perkara sebenar.
Menurutnya, sumber itu memberitahu Mohd Zaini dibelasah teruk lapan jurulatih jasmani di padang latihan sehingga menyebabkan kematiannya.
“Saya difahamkan, jurulatih membelasah adik saya kerana dia memberi alasan kurang sihat untuk mengikuti latihan jasmani pada pagi itu.
“Keterangan daripada sumber itu juga disokong oleh beberapa rakan sepelatih adik saya yang menyaksikan kejadian itu.
“Penjelasan daripada pihak TUDM mengenai kematian adik saya meragukan kerana Mohd Zaini tidak dikesan menghidap penyakit jantung ketika menjalani ujian x-ray beberapa hari sebelum memasuki TUDM,” katanya.
Mohamad Kamarul berkata, keluarganya hanya inginkan keadilan dan mahu penjelasan yang lebih telus daripada pihak TUDM.
Katanya, dia sudah membuat tiga laporan termasuk di Ipoh berhubung kejadian itu dan meminta siasatan lanjut dijalankan.
Bapa mangsa, Ismon Kargio, 62, berkata walaupun akur dengan kematian anaknya, tetapi cara kematian anaknya meragukan.
“Ini kerana anak saya seorang yang aktif dalam sukan dan tiada masalah menjalani latihan fizikal.
“Malah beberapa hari lalu, dia memaklumkan kepada isteri saya, Puniyah Surami, dia lulus ujian pertama dan bakal meneruskan ujian berikutnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan