HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Februari 2008

Menteri Tol, Samy Vellu sedia berundur….
Oleh Amin Iskandar @ Black


Tekanan demi tekanan telah menyebabkan akhirnya Menteri Tol, Samy Vellu menyatakan kesediaannya untuk berundur. Di Kuala Lumpur, Menteri Tol yang telah bertanding di Sungai Siput semenjak tahun 1974 itu menyatakan hasratnya itu sekiranya masyarakat India tidak lagi memerlukan khidmatnya. Sila lihat berita dari Bernama di bawah:

‘Saya Sedia Berundur Jika Masyarakat India Tidak Mahukan Saya Lagi’ Kata Samy Vellu


KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — “Sekarang pun saya sedia berundur,” jika masyarakat India tidak lagi memerlukan, kata Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya bagaimanapun menegaskan bahawa sebagai pemimpin masyarakat India, keputusan mestilah dibuat oleh masyarakat kaum itu dan bukan orang luar.

“Jika masyarakat India memutuskan mereka tidak lagi memerlukan saya… saya sedia berundur, malah sekarang pun saya sudah bersedia (berundur),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai persediaan parti itu menghadapi pilihan raya, selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Seluruh Komanwel mengenai Profesional Perkhidmatan Perdagangan, di sini hari ini.

Samy Vellu yang merupakan menteri kabinet tunggal kaum India, berkata pilihan raya umum kali ini mungkin pemilihan terakhir buatnya. “Saya mungkin tidak (bertanding pada pilihan raya umum) penggal depan,” katanya yang sudah menjadi anggota Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal.

Samy Vellu, anak kelahiran Johor, bertanding pertama kali di kawasan Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum pada 1974, dan terus mengekalkan kerusi itu hingga sekarang.

Mengenai jawatan presiden parti, Samy Vellu berkata beliau tidak boleh meninggalkan parti begitu sahaja, dan akan melepaskan jawatan itu pada masa yang sesuai.

Samy Vellu yang menjadi presiden parti sejak 22 Mac, 1981 berkata beliau tidak akan mengetuai parti itu selama-lamanya.

“Jika saya tinggalkan parti sekarang, parti akan kucar-kacir. Ini tidaklah bermakna saya akan memimpin sehingga 100 tahun. Hayat saya tidak sampai 100 tahun. Semua orang mesti berundur,” katanya.

Menjawab soalan, Samy Vellu menafikan ura-ura beliau berselisih faham dengan timbalan presidennya, Datuk G.Palanivel, dan berkata beliau tidak akan membenarkan sesiapa pun memecah-belahkan parti dengan menyebarkan khabar angin itu.

“Jika anda mahu menghancurkan parti, anda mesti memecah-belahkan kepimpinan dalam parti. Ramai yang cuba berbuat demikian. Namun kami tidak akan benarkan ia berlaku.
Saya akan menyerahkan parti kepada timbalan saya dan berundur (bila sampai masanya),” katanya.

Mengenai senarai calon bagi Pilihan Raya Umum kali ini, Samy Vellu berkata beliau sudah memuktamadkannya, dan perubahan akan dibuat “dari semasa ke semasa”.

“Saya sedia berjumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengemukakan senarai calon), jika beliau mahu berjumpa kami hari ini,” katanya.

Ditanya mengapa perlu membuat perubahan calon pada saat-saat akhir, menteri itu berkata beliau mahu memilih calon terbaik untuk pilihan raya.

“Ia seumpama perlumbaan. Anda buat pertaruhan pada seekor kuda. Jika kuda itu tidak berjaya dan nampak kuda lain lebih baik, anda cepat-cepat memilih kuda lain.

“Ia bukan persoalan bertaruh ke atas kuda lain tetapi persoalannya ialah mendapatkan kuda terbaik,” katanya.

Samy Vellu berkata beliau kecewa terhadap perkhidmatan beberapa wakil rakyat MIC dan “oleh itu saya memutuskan untuk membuat perubahan yang sangat besar.”

“Saya meletakkan ramai muka baru … ramai profesional dan memilih beberapa anggota yang tidak berkelayakan tinggi tetapi aktif dalam politik dan tahu menjalankan kerja politik.

“Inilah kriteria yang saya pakai,” katanya.

Mengenai sama ada anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri MIC sedia ada yang sudah berkhidmat satu penggal akan diberi peluang, Samy Vellu berkata ia bergantung terhadap perkhidmatan mereka.

Politik melibatkan prestasi. Anda mesti dilihat bekerja.

Anda seorang yang baik. Anda dapat kerusi, menang dan selepas itu tidak bekerja sama sekali. (Oleh itu) ia boleh jadi (hanya) satu penggal,” katanya.

Samy Vellu juga mengingatkan pemimpin MIC di peringkat bahagian bahawa kerusi yang diperuntukkan adalah untuk parti dan bukan untuk bahagian.

Beliau berkata terdapat kes pengerusi bahagian menuntut kerusi untuk mereka sendiri kerana kerusi berkenaan berada dalam bahaian mereka.

“Jika hujah itu yang dipakai, lain kali saya tidak boleh bertanding di Sungai Siput. Presiden parti tidak ada tempat nak pergi (bertanding) kerana saya di ibu pejabat,” kata Samy Vellu yang tidak memegang jawatan parti di peringkat bahagian.

Ditanya mengenai kemungkinan timbul rasa tidak puss hati di kalangan calon yang bercita-cita tinggi tetapi tidak dipilih bertanding, beliau berkata: “Bila pilihan raya, ramai mahu jadi calon tanpa mengetahui sebab mereka mahu jadi calon.”

Presiden MIC itu berkata beliau masih memberi peluang kepada mereka yang telah bekhidmat lebih dua penggal jika telah berkhidmat dengan baik.

Mengenai kejadian sekumpulan orang mengerumuni keretanya bagi menghalang beliau meninggalkan sebuah sekolah di Butterworth, Pulau Pinang Sabtu lepas, tempat beliau menghadiri satu majlis, Samy Vellu berkata kumpulan itu memintanya membantu membebaskan mereka yang ditahan dalam satu perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

“Tidak ada tanda-tanda mereka membenci saya. Mereka datang ke kereta saya meminta saya memberitahu Perdana Menteri supaya membebaskan mereka (yang ditahan). Itu saja yang mereka minta. Mereka tak bercakap mengenai politik,” katanya – BERNAMA

Tiada ulasan: