HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Februari 2008

Musa: Indeks jenayah yang meningkat cabaran utama PDRM



KUALA LUMPUR: Indeks jenayah yang meningkat tahun lepas sebanyak 7.12 peratus atau 14,910 kes kepada 224,298 kes berbanding tahun sebelumnya sebanyak 209,388 kes, merupakan cabaran utama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam agenda mewujudkan sebuah negara selamat bagi memacu pembangunan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini.

Justeru, beliau meminta segenap lapisan masyarakat supaya mengubah sikap yang enggan menyalurkan maklumat atau bekerjasama kepada polis terhadap sesuatu kes.

"Sikap kurang prihatin masyarakat menjadikan banyak kes yang berlaku sukar diselesaikan berikutan kurangnya maklumat yang diperolehi dari saksi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bukit Aman di sini.

Beliau berkata walaupun PDRM diberikan peruntukan yang banyak bagi memperkasakan kemudahan dan pemodenan pasukan sebagai langkah membendung jenayah, namun ia tidak akan mencapai tahap optimum dalam tugas membanteras jenayah tanpa sokongan dan kerjasama daripada masyarakat.

Musa berkata sikap pentingkan diri sendiri, "tidak mahu menjaga tepi kain orang" tidak akan dapat membantu dalam merealisikan hasrat mewujudkan kawasan selamat dan sudah tiba masanya tugas membanteras jenayah dilakukan bersamasama antara masyarakat dan polis.

"Kita perlukan bantuan masyarakat kerana kita perlukan saksi yang nampak kejadian jenayah kerana semasa berlaku jenayah, polis tiada di tempat kejadian," katanya.

Sehubungan itu beliau mengarahkan semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah supaya sentiasa bertemu dan berhubung rapat dengan masyarakat sekeliling bagi mendengar masalah jenayah yang berlaku di satusatu kawasan itu.

"Semua ketua polis negeri dan daerah perlu ubah persepsi, sentiasa turun padang dan jangan hanya duduk di dalam pejabat... bertemu rakyat," katannya.

Musa berkata langkah yang diambil bagi membendung kadar jenayah termasuk penambahan balai polis baru dan mewujudkan pondok komuniti di taman-taman perumahan yang dilihat akan dapat merapatkan lagi hubungan antara polis dan masyarakat setempat terutama bagi mendapatkan maklumat risikan.

Selain itu, katanya kehadiran polis akan lebih dirasakan dan akan menimbulkan rasa selamat di kalangan masyarakat sesuatu tempat.

Beliau berkata penambahan kereta peronda dan motosikal pula akan memudahkan rondaan di kalangan anggota yang beruniform mahupun yang berpakaian biasa dan dengan ini akan dapat mewujudkan kerjasama lebih rapat dengan masyarakat untuk sama-sama membantu polis.

Musa berkata PDRM juga akan dan sedang meningkatkan pengoperasian secara bersepadu melalui Unit Risikan Jenayah (CIU) yang ditubuhkan di Bukit Aman, di mana tindakan bersepadu dalam satusatu operasi akan dilakukan meliputi semua jabatan termasuk narkotik, siasatan jenayah dan jenayah komersial.

Selain itu, katanya peranan Pasukan Gerakan Am (PGA) turut dioptimumkan bagi membantu melakukan tugas pencegahan jenayah termasuk di kawasan pedalaman di Sarawak.

Beliau berkata daerah polis yang besar terutama yang membangun dengan pesat pula dikecilkan bagi memudahkan pemantauan selain mengambil semula pesara polis yang berpengalaman untuk bertugas secara kontrak dalam PDRM.

Mengulas isu integriti anggota PDRM, Musa menyatakan bahawa beliau masih tidak berpuas hati dengan tahap integriti di kalangan pegawai dan anggota polis dan menegaskan bahawa berkata banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mencapai tahap perkhidmatan yang efisien.

Katanya walaupun laporan rasuah di kalangan anggota polis semakin berkurangan, namun ia belum cukup kerana integriti merangkumi skop yang sangat luas yang mencakupi sikap amanah, bertanggung jawab dan harus pandai membawa diri di hadapan masayarakat.

"Walaupun rasuah kita berkurangan, namun tingkah laku kita (anggota Polis) masih tidak betul, tidak bertanggungjawab, kurang efisien, jadi saya masih tidak berpuas hati," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: