HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Februari 2008

5 minit proses dokumen palsu
Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my



SEBERANG JAYA - Lima minit, siap satu dokumen palsu.

Semudah itu kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pekerja rakyat asing yang kini menggunakan satu perisian khas komputer.

Antara kad atau dokumen yang banyak dihasilkan oleh sindiket tersebut termasuklah, pasport, Kad Pekerja Warga Asing, Kad Pendaftaran Warga Acheh dan Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abdul Rahman Harun berkata, dokumen-dokumen yang dihasilkan sindiket itu nampak tulen dan ia sukar dikesan dengan mata kasar.

Bagaimanapun menurut beliau, kegiatan sindiket tersebut terbongkar apabila pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam, pukul 2.45 petang Selasa lalu.

"Di rumah tersebut kita menahan seorang lelaki Myanmar berusia 25 tahun dan mendapati sebuah bilik di rumah itu dikhaskan menjadi tempat memproses dokumen palsu," katanya.

Abdul Rahman memberitahu, susulan tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Pantai Jerejak pukul 11.40 malam pada hari sama dan menahan empat lagi lelaki berusia antara 25 hingga 32 tahun.

Empat lelaki itu masing-masing membabitkan dua lelaki Myanmar dan dua lelaki Bangladesh. Keempat-empat mereka itu didapati mempunyai pengetahuan luas dalam bidang komputer.

"Empat daripada lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan manakala seorang lagi mempunyai dokumen perjalanan," kata beliau.

Suspek yang memiliki dokumen itu dipercayai menjadi 'runner' untuk mencari pelanggan dan mengedarkan dokumen yang telah siap kepada pelanggannya.

Jelas Abdul Rahman, kesemua dokumen palsu itu dijual dengan harga RM50 hingga RM150 berdasarkan jenis dokumen yang ditempah.

Bagaimanapun ujarnya, bagi pasport palsu pula ia dijual antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap satu.

"Kita juga percaya kebanyakan pelanggan sindiket ini adalah warga asing yang berada di sekitar utara Semenanjung yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen yang telah tamat tempoh," katanya.

Tiada ulasan: