HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Mac 2008

Agong tidak boleh campuri pelantikan MB Trengganu- Peguam Negara
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu sehingga kini belum menampakkan tanda hasil postif malah menambahkan lagi 'kerumitan' apabila Peguam Negara menyatakan bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam pemilihan calon ke jawatan tersebut.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan rasmi jam 11.45 semalam berhubung pelantikan Menteri Besar Terengganu.

"Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar," katanya seperti dalam kenyataan tersebut.

"Ini adalah kerana menurut Perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali fungsi sebagai Ketua Agama Islam."

Beliau berkata dengan itu Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan Menteri Besar, lapor laman web Buletin Online.

"Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, dan baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut."

Pelantikan itu yang tertangguh sehingga kini menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak khususnya bagi rakyat di negeri itu.

Sehingga kini BN Terengganu menang selesa dengan mengekalkan 24 daripada 32 kerusi namun pengerusinya Dato' Seri Idris Jusoh gagal mengangkat sumpah sejak pilihanraya umum berakhir 8 Mac lalu

Antara beberapa nama yang dikatakan bakal menggantikan Idris dengan alasan wakil rakyat Jertih itu tidak diperkenan oleh pihak istana dan terbaru, nama Dato' Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu) pula kini menjadi bualan penduduk Terengganu.

Sebelum ini tiga nama disebut-sebut bakal pengganti Idris iaitu Dato Ahmad Said (Dun Kijal), Dato' Rosol Wahid (Ajil) dan Dato' Mohamad Awang Tera (Chukai)yang mana ketiga-tiganya merupakan exco negeri pada penggal lalu.

Tiada ulasan: