HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Mac 2008

'Hentikan pertikaian atau tanggung risiko kekalahan lebih besar'


KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu menghentikan pertikaian berhubung prestasi teruknya dalam pilihan raya umum baru-baru ini dan perlu menumpukan untuk menyusun semula komponen itu dan membina semula keyakinan rakyat, kata Ketua Pemuda BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa jika langkah untuk menyelesaikan semua itu tidak dilakukan mulai sekarang, komponen itu mungkin akan menanggung risiko kalah lebih teruk lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

"Sekarang bukan masanya untuk memprotes atau memburukkan lagi keadaan, Apa yang lebih penting ialah suara rakyat didengar dan dihormati.

"Kami bukan melarikan diri atau kami cuba menafikannya. Kami tahu kelemahan kami dan kami akan berusaha membetulkannya selaras dengan aspirasi rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian persidangan ke-43 Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seaameo) di sini.

Pada pilihan raya umum Sabtu lepas, BN mencatatkan prestasi terburuk sejak 1969 apabila tewas kepada Pembangkang di empat negeri, gagal menawan Kelantan daripada PAS dan hanya memperoleh majoriti mudah dalam Parlimen.

Hishammuddin turut menyangkal dakwaan bahawa peralihan undi yang dramatik daripada BN adalah disebabkan rasa tidak puas hati dengan pucuk kepimpinan.

"Menolak seseorang, terutamanya perdana menteri tidak akan membantu memantapkan negara," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa satu daripada faktor utama ialah BN "tidak mendengar suara rakyat".

"Jelas ia adalah undi protes. Tidak nampak penolakan secara jelas rakyat terhadap pemimpin BN tetapi mereka tidak puas hati dengan sesuatu yang telah kami lakukan. Ia merupakan isyarat kepada kami dan kami akan menyelesaikan rasa tidak puas hati itu," katanya.

Beliau berkata semua pemimpin pergerakan Pemuda komponen itu dijangka akan mengadakan mesyuarat selepas Kabinet baru dibentuk.

"Kami akan gunakan peluang ini untuk membuktikan keikhlasan kami kepada rakyat supaya pada pilihan raya umum akan datang, mereka akan menghakimi kami daripada perspektif baru.

"Kami akan lakukan rombakan besar-besaran dalam BN untuk terus relevan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pembangkang, yang berjaya membentuk kerajaan baru di empat negeri, kini mula merasakan hakikat bahawa bukan tugas mudah untuk mentadbir sebuah kerajaan.

Beliau berkata tiba masanya bagi negerinegeri pimpinan pembangkang untuk membuktikan dan menunaikan janjinya kepada rakyat.

"Keadaannya amat berbeza sekali apabila anda adalah kerajaan yang mentadbir. Inilah peluang untuk mereka buktikan kemampuan untuk mentadbir.

"Saya harap rakyat akan lihat semua itu...bahawa BN yang telah mentadbir negara dan ia bukan tugas mudah," katanya ketika diminta mengulas pertikaian antara partiparti pembangkang di Perak berhubung isu kepimpinan. BERNAMA

Tiada ulasan: