HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mac 2008

Janji Anwar: Pilih pembangkang, harga minyak turun 9 Mac


KUALA LUMPUR: Pembangkang terus menabur janji kononnya ia berupaya menurunkan harga minyak sekiranya memenangi pilihan raya umum sekalipun kepada pengundi golongan menengah di sini yang sedia tahu bahawa janji itu mustahil dapat dilaksanakan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu pengundi di Taman Sri Gombak dekat sini Ahad malam, negara tidak akan bankrap seperti apa dikatakan oleh pemimpin kerajaan sekiranya harga minyak diturunkan.

"Kami berjanji harga minyak akan diturunkan pada 9 Mac sekiranya pembangkang berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN)," katanya pada ceramah di kawasan Parlimen Gombak di sini.

Para pemimpin kerajaan sebelum ini membidas pembangkang kerana membuat janji yang tidak munasabah dan boleh mengakibatkan negara menjadi bankrap.

Terbaharu, Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menjelaskan di Pulau Pinang semalam kerajaan tidak boleh menggunakan kesemua keuntungan Petronas bagi membayar lebih banyak subsidi minyak kerana syarikat minyak negara itu juga perlu mengembangkan perusahaan dan bersaing di peringkat antarabangsa bagi jangka masa panjang.

Anwar terus mengetepikan penjelasan pemimpin kerajaan dengan mendakwa bahawa pendapatan Petronas RM80 bilion selepas cukai adalah mencukupi untuk menampung penurunan harga minyak.

Katanya masih ada baki daripada pendapatan tersebut selepas harga minyak diturunkan bagi membiayai pendidikan percuma dan khidmat kesihatan percuma untuk rakyat.

Beliau menyangkal penjelasan kerajaan bahawa harga minyak di Malaysia sudah relatif murah sebaliknya beliau mendakwa harga minyak di negara ini masih mahal jika dibanding dengan harga minyak di negara-negara pengeluar minyak termasuk Brunei.

Anwar juga mendakwa bahawa rakyat lebih menikmati faedah daripada penurunan harga minyak dan harga barang daripada kerajaan mengutamakan pembangunan koridor dan wilayah ekonomi. BERNAMA

Tiada ulasan: