Kenduri besar PKR di Rembau 15 Mac ini
Oleh Wartawan KLpos.com
BIARPUN tewas, calon PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin dan sama-sama penyokongnya bercadang mengadakan kenduri besar dengan menumbangkan empat ekor lembu meraikan orang ramai.
Menurut Badrul, kenduri tersebut akan diadakan di depan Bilik Gerakan PKR Rembau.
"Ada tiga tujuan kenduri besar ini, selain meraikan petugas, kami juga mengumpulkan 'kejadian' aneh yang berlaku semasa pilihanraya dan selain itu untuk sesi mendaftar ahli PKR bahagian Rembau," katanya kepada KLpos.com.
Badrul yang tewas kepada Khairy Jamaluddin dalam pilihanraya lepas juga bercadang mengemukakan petisyen di mahkamah.
"Saya sempat menang setengah jam, selepas kiraan semua dibuat, saya kalah dengan majoriti besar," katanya yang menerima keputusan tersebut.
Namun menurut beliau, ada beberapa keganjilan termasuk borang 14 yang merekodkan jumlah undi di setiap saluran tidak diserahkan kepada ejen kiraan undi PKR.
"Biarpun tewas saya tidak akan berputus asa, saya berjanji kepada penduduk Rembau, saya akan pantau prestasi Khairy, segala janji yang dia taburkan, mesti ditunaikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan